BERITA

G25: Reaksi rakyat pada insiden Orlando merisaukan

22 Jun 2016, 4:31 am

Dikemaskini 5 tahun lepas

A
+
A
-

Reaksi sesetengah umat Islam di Malaysia yang seolah-olah gembira dengan pembunuhan tanpa provokasi membabitkan 49 orang dalam sebuah kelab malam di Orlando, AS, pada 12 Jun membimbangkan, kata kumpulan pendesak G25.

Dalam kenyataannya kumpulan itu berkata walaupun Islam mengharamkan aktiviti hubungan sejenis, agama itu juga mengecam pembunuhan.

"Amat membimbangkan apabila di media sosial, sesetengah umat Islam di Malaysia seronok dengan pembunuhan itu dan mewajarkannya atas alasan homoseksual adalah haram dan merupakan dosa besar dalam Islam," kata kenyataan itu.

Dalam kejadian itu seorang lelaki menembak mati 49 pengunjung kelab malam Pulse dan mencederakan 53 yang lain. Pulse diketahui menjadi tumpuan kumpulan gay.

Penyerang - dikenali sebagai Omar Mateen - kemudian ditembak mati selepas tiga jam.

Selain dianggap serangan massa paling ramai korban oleh seorang pelaku di AS, ia juga dianggap insiden terburuk membabitkan kumpulan LGBT di negara berkenaan.

Omar, 29, didakwa adalah antara pengunjung yang kerap ke Pulse dan pernah menggunakan laman sesawang untuk pengamal homoseksual sebelum ini. Bagaimanapun Biro Siastatan Persekutuan (FBI) masih memandang dakwaan itu dengan skeptikal.

Kata pertubuhan bukan kerajaan itu, mereka mahu menegaskan bahawa walaupun al-Quran mengharamkan homoseksual, mengambil nyawa manusia secara sengaja turut dilarang Islam.

Kumpulan itu turut memetik ayat 32 surah al-Maidah bermaksud: "Sesiapa yang membunuh seorang manusia bukan karena orang itu membunuh orang lain, atau bukan karena membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan Dia telah membunuh manusia seluruhnya."

Mereka juga bimbang kenyataan yang dilihat menyokog kepada pembunuhan pengunjung kelab malam itu disalah tafsir sebagai dokongan kepada tidakan keganasan.

NGO itu menggesa semua pihak meninggalkan sikap melampau dan tidak toleran terhadap orang yang memiliki orientasi seksual berbeza, dan menerima pandangan universal bahawa semua manusia mempunyai perasaan sama iaitu mahukan kebebasan untuk hidup tenang.

G25 menambah rakyat mempunyai hak dan kebebasan yang dilindungi undang-undang.

Dalam konteks Malaysia, katanya, hak itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang wajib melindungi semua rakyat daripada sebarang tindakan permusuhan.

[Baca berita asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen