PROTON Holdings Bhd akan mengenal pasti secara rasmi rakan kongsi strategik di bawah penyeliaan pasukan petugas khas yang baru dibentuk.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pengeluar kereta nasional itu telah menetapkan tempoh selama satu tahun kepada syarikat mencari rakan kongsi strategik bagi kerjasama lebih mendalam.
Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Perdana generasi keempat di sini hari ini, Ahmad Fuaad juga tidak menafikan kemungkinan kerjasama itu termasuk memiliki ekuiti.
"Kami tidak menolak apa-apa kemungkinan kerana apabila anda bercakap mengenai kerjasama strategik, ia boleh terjadi dalam sebarang bentuk.
"Dalam bentuk yang lebih rendah ia boleh jadi dalam terma berkongsi model manakala dalam bentuk lebih tinggi mungkin dalam terma pegangan ekuiti," katanya.
Perdana baharu itu diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, diiringi Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Ahmad Fuaad.
Sejak pengumuman pasukan petugas khas pada April, Ahmad Fuaad berkata, beberapa pengeluar kelengkapan tulen (OEM) telah menyatakan minat untuk membentuk kerjasama dengan PROTON.
"Kami akan mengeluarkan permohonan cadangan daripada semua OEM ini. Kami hanya mahu memastikan yang proses kerjasama itu dilakukan pada asas yang telus, oleh itu kami menjemput semua OEM berminat untuk menyertai eksesais ini," katanya.
PROTON sudah pun menjalin perkongsian strategik dengan Honda dan Suzuki.
Sejak tempahan dibuka pada Februari lepas, PROTON Perdana baharu itu telah menerima kira-kira 900 tempahan di seluruh negara dan pengeluar kereta nasional itu dijangka menjual kira-kira 3,000 unit menjelang akhir tahun, kata Ahmad Fuaad.
Berharga RM113,888 dan RM138,888 untuk varian 2.0 dan 2.4, Perdana baharu 2.0 boleh dipandu uji di semua bilik pameran Proton Edar di seluruh negara.
Generasi pertama Perdana diperkenalkan kepada orang ramai pada 1992 dan sehingga kini kira-kira 77,000 unit Perdana telah dibeli.
Mulai sekarang hingga akhir 2017, Ahmad Fuaad berkata, Perdana generasi keempat itu akan hanya dijual di pasaran domestik disebabkan kekangan oleh Honda di bawah perjanjian perkongsian platform.
Di bawah perjanjian itu, katanya, PROTON dibenar mengeluarkan maksimum 7,000 unit setahun, dihadkan oleh jumlah kit pengeluaran yang Honda komited untuk bekalkan bagi projek berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, PROTON merancang memperkenal varian yang dipertingkat dengan enjin dihasilkan sendiri apabila perjanjian tamat pada akhir 2017, membolehkannya memasuki pasaran asing.
Walaupun pengenalan model Perdana itu lambat berbanding jadual awal pada Januari lalu, Ahmad Fuaad yakin PROTON masih boleh mencatat jualan 150,000 tahun ini.
"Perdana itu sepatutnya dilancar pada Januari. Dengan itu jualan keseluruhan (Perdana) sekitar 6,000 unit, tetapi disebabkan ia dilancar pada separuh kedua, unjuran itu dikurangkan kepada separuh.
"Kami masih boleh mencapai tahun penuh (sasaran jualan) dan dengan tiga model lain yang akan diperkenal (tahun ini), ia akan menjadi 150,000 unit," tambahnya.
- Bernama

