malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Profesor fizik calon AMANAH di Kuala Kangsar
Diterbitkan:  Jun 2, 2016 10:55 PM
Dikemaskini: 3:31 PM
ADS

Parti Amanah Negara (AMANAH) memilih profesor fizik Dr Ahmad Termizi Ramli sebagai calon pilihan raya kecil Kuala Kangsar bagi menentang calon Umno dan PAS.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu mengumumkan pencalonan Termizi dalam majlis yang dihadiri pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) di Kuala Kangsar malam ini.

Antara pemimpin yang hadir ialah Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung HARAPAN, Datuk Saifuddin Abdullah.

Termizi, 61, berasal dari Kampung Suak Petai di Manong, Kuala Kangsar.

Beliau adalah seorang profesor fizik dari Universiti Teknologi Malaysia sebelum bersara.

Termizi memperoleh ijazah dalam fizik dari University of Leeds, United Kingdom pada tahun 1975 dan sarjana dalam kesihatan dan keselamatan radiologi dari Universiti Salford, UK pada tahun 1980.

Beliau juga memperolehi ijazah doktor falsafah dalam bidang fizik perubatan dan diploma dalam fizik pengionan dari Universiti Swansea, UK.

Termizi adalah naib ketua AMANAH Kuala Kangsar serta anggota jawatankuasa biro politik AMANAH Perak dan jawatankuasa AMANAH nasional.

Beliau juga merupakan anggota jawatankuasa pusat Ikram dan setiausaha biro politiknya.

Profesor fizik ini akan menentang calon BN Mastura Mohd Yazid, yang merupakan balu kepada penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar, dan calon PAS Najihatussalehah Ahmad, yang merupakan seorang doktor perubatan.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun sementara hari pembuangan undi pula pada 18 Jun.

Lihat Komen