malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi julang keris, potong pulut gergasi
Diterbitkan:  Jun 2, 2016 7:50 PM
Dikemaskini: 12:04 PM
ADS

Upacara 'menjulang keris' sebelum ini hanya dikaitkan dengan pemimpin Umno dalam himpunan tahunan mereka, sebelum ia dihentikan beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini pula mencuri perhatian apabila menjulang keris replika gergasi, berukuran sekurang-kurangnya dua meter panjang.

Ketika merasmikan Muktamar ke-62 parti Islam itu di Kota Bharu, Hadi menggunakan keris gergasi untuk memotong kek pulut berwarna hijau dan putih yang menyerupai warna bendera parti itu.

Sebelum itu, keris tersebut diarak masuk ke dalam dewan oleh seorang lelaki berpakaian silat berwarna hitam.

Lelaki itu diapit dua lagi lelaki lain yang berpakaian seperti pakaian Bentara Istana Melayu lama.

Di belakang mereka, sekumpulan lelaki yang memakai pakaian silat membawa kek pulut gergasi berkenaan dengan cara mengusungnya di atas alatan seperti tandu.

Mereka muncul dari pintu masuk ke pentas utama diiringi tiupan serunai dan gendang yang sering digunakan semasa acara silat, sebelum keris berkenaan diserah kepada Hadi.

Hadi, dibantu oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, kemudian memotong kek pulut itu di tengah-tengah sorakan dan tepukan daripada perwakilan yang turut melaungkan Allahuakbar.

Pada majlis sama, para penyokong PAS yang terdiri daripada ahli bukan Islam membaca ikrar untuk menyatakan sokongan kepada Hadi dan PAS.

Semalam, Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dan pemimpin parti yang lain memilih untuk berpakaian ala pakaian pahlawan Melayu lama.

Pakaian itu mendapat perhatian kerana berbeza dengan pakaian kebiasaan pemimpin PAS yang hanya berjubah atau berbaju Melayu biasa.

Lihat Komen