malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mereka tak faham, PAS parti berwahyu- Balachandran
ADS

Perwakilan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Dr G Balachandran menggamatkan dewan Muktamar Tahunan PAS ke-62 yang berlangsung di Kota Bharu hari ini.

Dalam ucapan perbahasan dasar presiden, Balachandran bukan sahaja mengkritik pihak yang tidak dapat menerima Rang Undang-undang (RUU) untuk meminda Akta 355 Mahkamah Syariah, malah turut menyifatkan PAS sebagai parti berkonsepkan wahyu.

"Mereka tak faham niat parti PAS, adalah parti yang berwahyu. Berteraskan al-Quran dan sunnah.

"Kita ada dua cawangan (bahagian) iaitu politik dan dakwah," katanya.

‎Beliau berkata, pihaknya faham bahawa RUU itu untuk memperkasakan mahkamah syariah, bukan untuk enakmen Hudud.

Bagaimanapun katanya, ramai orang bukan Islam memahami ia adalah untuk melaksanakan Hudud.

"Sebab itu presiden MIC (Datuk Seri S Subramaniam) menyatakan ‎mahu letak jawatan, bagi saya (dia) seorang pemimpin yang lembab.

"Kalau dia rasa susah (faham) boleh panggil kita, boleh ajar dia sikit," jelasnya.

Tambah Balachanran kekuatan parti Islam itu bukan kerana Pakatan Rakyat yang disertainya sebelum ini, tetapi kerana 'Islam'.

‎"Sebab itu kita boleh keseorangan, sebab Allah bagi kita rahmat DHPP dalam PAS. Kalau tidak, tak ada makna PAS rahmat, Islam rahmat untuk semua," katanya.

'Hidup Islam kita semua selamat'

Sementara itu beliau berkata, perjuangan PAS berteraskan agama bukan perjuangan bangsa seperti mana Umno.

"Hidup Melayu ‎tak jadikan Islam selamat, hidup Islam kita semua selamat," katanya.

"Jangan jadikan bangsa sebagai akidah perjuangan. Keadilan dalam PAS merangkumi semua kaum.

"Menjadi seorang Islam adalah hak Allah, yang penting kita ditarbiah sebagai seorang yang baik. Hindu yang lebih baik, Kristian yang lebih baik. Itu penting," katanya sambil memetik surah al-Maidah ayat kelapan.

Ucapan Balachandran menerima tepukan gemuruh perwakilan dan laungan takbir.

Malah, sebaik selesai berucap semua perwakilan berdiri memberi penghormatan kepada beliau.

Lihat Komen