malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Akta 355: Memang ada runding dengan BN, kata Hadi
ADS

PAS hari ini mengakui wujud rundingan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan usul pindaan Rang Undang-undang Persendirian Akta 355 dibentangkan di Parlimen.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, oleh kerana mengikut 'standing order, ia mesti diusulkan oleh seorang menteri terlebih dahulu bagi membolehkan usul tersebut kemudiannya dibawa.

"Sokongan menteri dahulu, ‎setelah dipersetujui barulah ahli parlimen berkenaan boleh bawa usul itu untuk bacaan kali pertama.

"Apa yang kita buat adalah berunding dengan kerajaan supaya mengizinkan ia diusulkan. Baca kali pertama‎," katanya pada sidang media selepas di Muktamar Tahunan PAS ke-62 di Kota Bharu, hari ini.

Abdul Hadi pada 26 Mei lalu berjaya membentangkan usul tersebut dengan persetujuan parlimen walaupun usul tersebut berada pada kedudukan nombor 15.

Usul itu bertujuan meminda Seksyen 2 akta tersebut untuk menyebut Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A yang menyebut dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah seksyen tersebut, Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan, selain hukuman mati.

Mengulas lanjut, Hadi berkata, semua pihak harus faham bahawa politik bukan saja parlimen, dan demokrasi bukan sahaja parlimen.

‎"Demokrasi termasuklah demonstrasi, berunding dan berdialog.

"Kita sudah mengemukakan usul ini sejak tahun 1995, bukan usul baru. Sudah dua tiga kali kita bawa pada 1995," katanya.

Anggota parlimen Marang itu menegaskan usul tersebut hanya melibatkan orang beragaman Islam dan ia belum dibahaskan.

"Ia untuk menaik taraf bidang kuasa mahkamah syariah. Mahkamah syariah hari ini bidang kuasanya lebih rendah daripada mahkamah majistret sebab itu perlu diangkat.

"Bukan saja di Kelantan tetapi seluruh negara, sebab itu melibatkan orang Umno beragama Islam. Usul ini berkait dengan orang Islam tanpa mengira orang bukan Islam," jelasnya.

Justeru, tambah beliau, DAP tidak perlu membuat kacau usul berkaitan orang Islam.

"Kita berunding dan itu terpulang kepada masing-masing, kita bukan satu parti ‎walaupun sama-sama pembangkang tapi ada penghujahan sendiri," katanya.

Lihat Komen