malaysiakini logo
story-image
ADS

Muktamar Pemuda PAS hari ini menerima 'kejutan' sekali lagi selepas Dewan Kelantan Trade Centre di Kota Bharu, bergelap-gelita ketika perbahasan berlangsung.

Pada kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari tadi, perwakilan sedang khusyuk mendengar ucapan wakil Parti Saadet dari Turki, Fatin Aydin.

Disebabkan gangguan bekalan elektrik itu mengambil masa untuk dipulihkan pengerusi menangguhkan sesi berkenaan untuk rehat sebelum bersambung pada jam 1.45 petang ini.

Difahamkan, gangguan bekalan elektrik di dewan tersebut berlaku susulan menghadapi masalah teknikal dan dijangka pulih dalam masa terdekat.

Terdahulu, Pemuda PAS memuat kejutan dengan mengemukakan 'usul tergempar' ucapan hari jadi kepada Timbalan Pengerusi Tetap, Dr Riduan ‎Mohd Nor.

Kejutan pertama pula dibuat oleh barisan kepimpinan Pemuda PAS serta Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mencipta kelainan apabila tampil dengan pakaian 'pahlawan Melayu'.

Ia menimbulkan pelbagai reaksi umum terhadap parti Islam itu yang biasanya lebih sinonim dengan jubah dan kopiah.

Sementara itu, setakat ini muktamar Pemuda PAS ke-57 itu‎ sudah selesai membentangkan dan menerima laporan kewangan dan membahas ucaptama ketua Pemuda PAS.

Sesi petang ini dijadual akan berlangsung perbahasan usul-usul, ucapan penangguhan perwakilan dan ucapan penangguhan ketua pemuda.

Lihat Komen