malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Siasatan S'pura: 'Nik Faisal lulus pindah RM48j dari SRC ke sekutu Jho Low'
Diterbitkan:  May 14, 2016 9:19 AM
Dikemaskini: 3:05 PM
ADS

Siasatan pihak berkuasa Singapura didakwa mendapati bahawa Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, meluluskan pemindahan AS$11.95 (RM48 juta) dana syarikat itu kepada sekutu Jho Low - Tan Kim Loong.

Tan, menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), adalah benefisiari asal syarikat yang berpangkalan di British Virgin Islands, Tanore Finance, yang telah menghantar AS$681 juta ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tanore Finance dilaporkan menerima dana, melalui perantara, dari syarikat yang berpangkalan di British Virgin Islands, Aabar Investments PJS Limited di mana AS$3.5 bilion dana 1MDB didakwa dilencongkan.

Business Times Singapura melaporkan bahawa penemuan pihak Singapura itu terkandung dalam dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah Singapura pada hari Khamis sebagai sebahagian daripada pertuduhan ketujuh terhadap bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei.

Pertuduhan terbaru terhadap Yeo itu adalah kerana mempermudahkan, melalui cara penipuan, pemindahan AS$11.95 juta dari SRC International kepada Affinity Equiti International Partners Ltd, sebuah syarikat yang dimiliki Tan.

"Pemindahan dana kepada Affinity Equiti International Partners Ltd dilakukan melalui Pacific Harbour Global Growth Fund AA4 - dana yang SRC International Malaysia langgani.

"(Ia) diselia oleh Pengarah Eksekutif Kewangan 1MDB Terence Geh dan diberi kuasa oleh Nik Faisal Ariff Kamil, pengarah urusan SRC International Sdn Bhd dan bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB, dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh pendakwa raya Singapura mendedahkan," kata laporan itu.

SRC International Malaysia, yang didaftarkan di British Virgin Islands, dimiliki sepenuhnya oleh SRC International Sdn Bhd, yang seterusnya dimiliki oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Ia adalah bekas anak syarikat 1MDB, sebelum diletakkan secara langsung di bawah Kementerian Kewangan pada tahun 2012.

'Surat ditandatangani Nik Faisal'

Business Times juga melaporkan bahawa antara dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah termasuk surat yang ditandatangani Nik Faisal bagi pihak SRC International Malaysia mengakui bahawa Pacific Harbor Global Growth Fund telah menyalurkan AS$11.95 juta kepada Affinity Equiti.

Sebelum ini, selain SRC sebagai bekas anak syarikat 1MDB, ia tidak dikaitkan secara langsung dengan jaringan transaksi multi-bilion dolar 1MDB.

Transaksi kontroversi SRC International sebelum ini dilihat sebagai bebas daripada 1MDB, antaranya pemindahan RM42 juta dan RM27 juta, melalui perantara, ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkan Najib daripada transaksi tersebut dengan alasan bahawa perdana menteri tidak tahu mengenainya.

Walaupun transaksi multi-bilion 1MDB kini menjadi subjek siasatan antarabangsa termasuk di Singapura, Switzerland, Luxembourg, United Arab Emirates dan Amerika Syarikat, namun sedikit yang diketahui tentang apa yang berlaku kepada RM4 bilion dari SRC International.

SRC International telah mendapat pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) - dana pencen untuk kakitangan kerajaan - yang dikatakan untuk pelaburan dalam sektor tenaga di Mongolia.

Nik Faisal dipercayai berada di Indonesia sejak dia meninggalkan Malaysia pada Julai tahun lepas.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen