Rafizi: Saya masuk penjara, bos 1MDB mesti ikut


(Dikemaskini )

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli membuat laporan polis berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang dalam pembayaran 1MDB, berdasarkan dokumen sulit yang dikatakan dimilikinya.

Beliau juga menyatakan kesediaan direman kerana mendedahkan dokumen bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), dengan syarat Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy turut dilayan sama.

Beliau justeru mendesak Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan itu.

“Saya tak kisah kalau dia (polis) nak reman (saya) lepas ini.

“Kami (Rafizi dan Arul kanda) boleh berbahas sebelah-sebelah sel, dan saya boleh dapatkan lebih banyak lagi maklumat,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat polis (IPD) Dang Wangi hari ini.

Rafizi kelmarin nekad mendedahkan dokumen yang menurutnya tertakluk bawah OSA bagi membuktikan dakwaan kaitan 1MDB dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Dakwanya, kaitan itu mungkin menjejaskan keupayaan LTAT untuk membayar pampasan atau gratuiti kepada veteran tentera yang telah bersara.

Malaysiakini tidak memiliki dokumen itu dan tidak dapat melaporkan penjelasan lanjut Rafizi pada sidang medianya kerana kekangan undang-undang.

Semalam, Khalid berkata pihaknya sedang memeriksa jika dokumen yang didedahkan Rafizi adalah sebahagian daripada Laporan Ketua Audit Negara yang diklasifikasikan sebagai OSA.

Khalid berkata sekiranya terbukti bahawa dokumen itu diklasifikasikan sebagai rahsia, polis juga akan menyiasat pihak yang membocorkannya.

Sementara itu, Rafizi, anggota parlimen Pandan berharap beliau dan Arul diberi layanan serupa jika benar-benar ditahan bersama-sama.

“Kamu (Khalid) mahu siasat saya bawah OSA saya akan datang serah diri, beri keterangan. Saya akan beri sepenuh kerjasama tapi saya nak tengok Arul kanda juga hadir.

“Kalau saya kena lokap, masuk tak pakai selipar, berbaju ungu saya mahu Arul Kanda macam itu juga dalam lokap,” katanya.

'Biar saya seorang kena OSA'

Sementara itu, walaupun membuat laporan polis, Rafizi berharap pihak lain tidak mengikuti tindakannya itu bagi mengelakkan siasatan bawah OSA.

“Saya tak nasihatkan pihak lain untuk buat laporan polis kerana saya bimbang akan kena OSA dan lain-lain jadi sebab itu saya (sendiri) buat laporan polis,” katanya.




Pengiklanan