malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
OSA perlu dipinda bagi kenakan hukuman lebih berat
ADS

Akta Rahsia Rasmi (OSA) perlu dipinda bagi memastikan tiada individu yang memandang remeh terhadap undang-undang tersebut, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Selain itu, beliau berkata pindaan akta tersebut juga perlu dilakukan bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab terus membocorkan maklumat yang diklasifikasi di bawah akta itu.

"Sebab itulah kerajaan nak pinda akta OSA ini supaya mereka dipertanggungjawabkan dengan maklumat yang diklasifikasikan sebagai OSA, benar-benar faham.

"(Dan) supaya tindakan boleh diambil kepada mereka, tindakan yang lebih berat. Sebab (mereka mempunyai) perangai endah tak endah. Dan kata 'tak apa, boleh sebar maklumat bawah OSA'.

"Sebab tu kerajaan bercadang nak pinda akta OSA itu," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan wartawan berhubung tindakan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang mendedahkan dokumen kerajaan berkaitan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) didakwa dilindungi di bawah akta OSA.

Rafizi yang juga setiausaha agung PKR semalam nekad mendedahkan dokumen kerajaan yang membuktikan kaitan 1MDB dengan LTAT .

Dakwanya, kaitan itu mungkin menjejaskan keupayaan LTAT untuk membayar pampasan atau gratuiti kepada veteran tentera yang telah bersara.

Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan bertindak demikian kerana LTAT tidak berterus terang menjawab dakwaannya.

Malaysiakini tidak memiliki dokumen itu dan tidak dapat melaporkan penjelasan lanjut Rafizi pada sidang medianya semalam kerana kekangan undang-undang.

Lihat Komen