BERITA

Dr M: Najib gunakan wang untuk jadi popular

27 Mac 2016, 3:38 pagi

Dikemaskini 4 tahun lepas

A
+
A
-

Selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai gerakan Deklarasi Rakyat bersama-sama pemimpin pembangkang termasuk pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, perhatian hari ini tertumpu pada Kongres Rakyat di Selangor.

Kongres Rakyat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam itu merupakan cetusan ilham dan diselaraskan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Mahathir sendiri dijadual mengambil bahagian dalam majlis tertutup itu dan menjadi orang terakhir menyampaikan ucapan.

Antara pemimpin yang hadir adalah timbalan presiden Umno yang digantung jawatannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kedah yang disingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malaysiakini membawakan liputan secara langsung acara tersebut.


LANGSUNG

6.30 ptg : Pada akhir ucapannya, Dr Mahathir berkata beliau sanggup memandu sebuah lori untuk membawa Deklarasi Rakyat ke istana.

Katanya beliau mahu menunjukkan sentimen rakyat terhadap Najib kepada majlis raja-raja.

Sepanjang ucapannya, Mahathir mengambil peluang menghentam Najib, Rosmah dan penyokong mereka.

Himpunan Selamatkan Malaysia berakhir pada jam 6.30 petang dengan sidang akhbar oleh Mahathir dan pemimpin lain.

6.00 ptg : Mahathir mengambil tempat sebagai penceramah terakhir dengan laungan "Reformasi!" - Perkataan yang sama dilaungkan oleh aktivis anti-Mahathir semasa protes reformasi 1998.

Mahathir mengimbas kembali dengan mengatakan beliau melompat kegembiraan apabila Tun Abdullah Badawi melantik Najib sebagai penggantinya.

Beliau menyangka, Najib yang merupakan anak Tun Abdul Razak akan menjadi seperti bapanya malangnya begitu berbeza dengan Tun Razak.

Mahathir berkata beliau juga keluar Umno buat pertama kali agar Najib dilantik sebagai perdana menteri kerana terhutang budi dengan Tun Razak yang sama melantik beliau ke jawatan itu.

Selepas Najib dilantik, Mahathir berkata, beliau mula sedar bahawa tindakan Najib tidak patut bagi seorang perdana menteri. Najib, dakwanya menggunakan wang untuk mendapatkan populariti, dan mengganggap pemberian itu sebagai rasuah.

Katanya, Najib membeli sokongan rakyat dengan memberikan wang yang juga adalah wang rakyat.

Mahathir juga mengulangi dakwaannya bahawa Najib menjadikan wang sebagai segala-galanya atau cash is king .

Beliau juga mengutuk orang di sekeliling Najib dengan menggunakan istilah popular iaitu 'pemakan dedak'.

5.30 ptg : Pemimpin nombor dua Umno yang digantung dari jawatannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan ucapannya dengan berkata beliau tidak pernah bermimpi satu hari akan duduk di sebelah Lim Kit Siang.

Muhyiddin berkata sudah tiba masanya untuk politik matang di Malaysia dan tidak lagi terikat dengan idealogi atau sejarah. Menurutnya, mereka kini telah mencapai keadaan yang memerlukan mereka bersatu untuk menyelamatkan Malaysia.

Muhyiddin berkata, walaupun beliau tidak memakai baju yang sama seperti Mukhriz, kedua-duanya tergolong dalam kumpulan yang sama iaitu orang-orang yang dijauhi dalam Umno.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga menyesal menuntut peletakan jawatan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas prestasi buruk BN dalam pilihan raya umum 2008.

Namun pada masa itu katanya, tiada desakan untuk beliau dipecat daripada parti kerana hanya mahu perdana menteri meletakkan jawatan, sementara penggantinya diputuskan oleh Umno dan BN.

5.20 ptg : Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata pembangkang dan pemimpin masyarakat sivil yang menandatangani Deklarasi Rakyat menghadapi banyak kesusahan di bawah sistem menekan termasuk semasa di zaman Perdana Menteri Tun Mahathir.

Katanya, mereka menjadi mangsa dan sebelum Anwar ditahan pada 1998 beliau orang pertama ditangkap di bawah pentadbiran Mahathir yang semasa itu menjadi Menteri Dalam Negeri.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor itu berkata ia kini tinggal sejarah dan seseorang itu harus menjadi lebih baik daripada waktu sebelumnya. Seseorang katanya, tidak boleh mengeluh terhadap kenangan pahit dan harus mengambil langkah positif demi masa depan.

4.45 ptg : Mukhriz Mahathir berkata selepas tandatangan deklarasi itu dikumpulkan, mereka akan menyerahkannya kepada majlis raja-raja.

Secara berseloroh beliau berkata bapanya mahu tandatangan itu dikumpulkan dan diletakkan di atas sebuah lori yang dipandu bapanya sendiri. Bagaimanapun katanya beliau tidak pasti sama ada lesen bapanya yang berusia 90 tahun itu masih sah.

4.30 ptg : Mukhriz berkata, beliau berdiri di atas pentas masih memakai seragam berwarna merah Umno.

Seorang dari kalangan hadirin menjerit, "Buka!".

Bagaimanapun Mukhriz menjelaskan bahawa darah dagingnya adalah Umno dan tidak begitu mudah baginya untuk berubah.

Katanya beliau juga tahu ramai ahli Umno berada dalam dwan itu tetapi mereka tidak memakai pakaian seragam.

Beliau juga mengulangi pendiriannya bahawa pergerakan 'Selamatkan Malaysia' adalah untuk menggantikan Najib dengan satu lagi Perdana Menteri Umno.

4.20 ptg : Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau hanya akan menumpukan perhatiannya kepada Najib dan isterinya Rosmah Mansor.

Katanya beliau tidak akan mengganggu kedua-duanya sekiranya mereka 'tidak mengambil wang rakyat'.

Rafizi mengulangi janjinya untuk mendedahkan dokumen Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang dikaitkan dengan Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di perhimpunan Pakatan Harapan di Ampang Jaya esok.

4.10 ptg : Penceramah seterusnya adalah presiden Hakam Ambiga Sreenevasan. Ketika berada di atas pentas, seseorang berteriak "Buat Bersih 5!"

Ambiga kemudian menjawab, "Cukuplah cukup!" terhadap pentadbiran Najib.

Pada masa yang sama, beliau juga menggesa perbincangan mengenai mantan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dilakukan.

Ambiga juga secara sinis berterima kasih kepada Najib kerana menyatupadukan rakyat dari sisi yang berbeza-beza.

4:00 ptg : Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menekankan agenda Selamatkan Malaysia bukan salah satu yang usaha untuk menghancurkan orang Melayu.

Salahuddin juga mengingatkan orang Melayu bahawa hak-hak mereka juga dilindungi di bawah perlembagaan persekutuan.

Katanya, negara ini memerlukan orang Melayu, Cina dan India serta pemimpin yang baik. Katanya contoh pemimpin Melayu yang baik adalah Tun Abdul Razak Hussein dan bekas menteri Tun Tan Siew Sin.

3.50 ptg : Bekas Setiausaha Agung MIC S Murugesan berkata sudah tiba masanya untuk beliau mengambil pendirian.

Beliau turut bertanya kepada rakan-rakannya di dalam BN berapa lama lagi mereka akan berdiam diri.

Murugesan juga mengatakan kesetiaan kepada pemimpin hanya patut diberikan selagi pemimpin berkenaan setia kepada prinsip-prinsip ketika negara ini diasaskan.

3.40 ptg : ADUN Salor Datuk Husam Musa berkata semua rakyat Malaysia harus mempunyai hak yang sama untuk menolak kerajaan yang korup.

"Alhamdulillah kita hanya ada 1MDB. Bukan 2MDB atau 3MDB," katanya sambil menambah keadaan akan sebaliknya menjadi lebih buruk sekiranya keadaan itu berlaku.

Husam berkata seruan untuk peletakan jawatan Najib tidak boleh bertukar menjadi isu perkauman atau agama.

Katanya, ia bukan lagi merupakan satu pilihan, tetapi satu kewajipan dan tidak seharusnya menjadi masalah besar kepada semua orang.

3.20 ptg : Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah menyeru rakyat bukan sahaja menukar pemerintah, tetapi juga mengubah sistem undang-undang.

Maria berkata beliau bercakap dalam kapasiti individu, tetapi seruan untuk pembaharuan institusi telah diperjuangkan oleh kumpulan masyarakat sivil selama ini.

3.10 ptg : MP Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang merupakan penceramah ke lapan berkata kebanyakan pemimpin yang menghadiri majlis itu hari ini mempunyai sejarah perlawanan antara sama lain.

Katanya, beliau dan Mahathir merupakan rakan kepada bapanya dan tinggal di kampung yang sama, manakala Mukhriz juga merupakan rakannya.

Tetapi kata Mahfuz, sekiranya beliau mempunyai dendam politik terhadap Mahathir, beliau tidak akan berada di dewan itu hari ini.

Mahfuz berkata, beliau mempunyai sebab untuk membalas dendam kerana Mahathir adalah orang yang telah menandatangani surat ketika beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Namun menurutnya, apa yang perlu dilakukan hari ini adalah demi masa depan dan generasi akan datang.

2.50 ptg : Dengan gaya yang berapi-api, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid menghangatkan dewan apabila mengambil pentas dengan berucap mengenai isu pekerja.

Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) Malaysia itu menyatakan telah menerima beribu-ribu aduan daripada pekerja yang dipecat secara tidak adil daripada pekerjaan mereka.

Tidak seperti semasa pentadbiran lalu, Abdullah Sani berkata harga barangan dan perkhidmatan tidak meningkat secara drastik ketika Mahathir masih berkuasa.

Para hadirian menyambut ucapan Abdullah Sani dengan sorakan dan tepukan.

2.40 ptg : Pemimpin Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Kamarul Azman Habibur Rahman memberitahu hadirin bahawa beliau 'angkat topi' dengan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Katanya, mereka adalah generasi muda dalam Umno dan orang Melayu tidak perlu takut kepada Lim Kit Siang kerana mereka kini sudah mampu berfikir. Sebaliknya katanya Najib Razak lah yang perlu ditakuti.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu pemimpin Pakatan Harapan bahawa mereka tidak berpolitik berdasarkan parti tetapi apa yang terbaik demi negara ini.

Kamarul juga berkata beliau telah menerima surat daripada Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, yang menyatakan beliau dipecat daripada parti.

Kamarul bagaimanapun berkata beliau mengabaikan surat itu kerana mendakwa Tengku Adnan tidak mempunyai integriti untuk memecatnya.

2.20 ptg : Syed Saddique berkata beliau dahulunya merupakan peminat tegar Najib Razak dengan menyangka perdana menteri itu melakukan pembaharuan tulen untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej (AUKU) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Namun katanya, selepas isu 1MDB, semuanya berubah.

2.10 ptg : Syed Saddique selaku moderator berkata, setiap pemimpin akan diberi 11 minit untuk menyampaikan ucapan mereka. Beliau memberi amaran bahawa loceng amaran pertama akan dibunyikan pada 10 minit, dan loceng kedua pada 11 minit.

Zaid naik ke pentas sebagai penceramah kedua. Beliau menggesa orang ramai untuk turun ke kampung-kampung dan bercakap dengan orang-orang yang mungkin tidak faham bagaimana rasuah menyumbang kepada kemiskinan mereka.

2.00 ptg : Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berada di tengah pentas bersama dengan Muhyiddin, Zaid dan pemimpin-pemimpin lain yang menyokong gerakan Selamatkan Malaysia. Perhimpunan secara rasmi bermula dan Mahathir akan menyampaikan ucapan akhir. Dewan penuh dengan orang ramai dan terdapat mereka yang masih berada di luar.

1.45 tgh : Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali tiba. Beliau disambut dengan laungan "Selamatkan Malaysia!" dan "Bebas Anwar!". Dokumen Deklarasi Rakyat sebelum ini dikritik sebahagian penyokong Anwar kerana tidak jelas termasuk permintaan untuk membebaskan beliau dari penjara.

1.30 tgh : Tidak lama selepas itu, timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba dengan laungan "Reformasi" "Lawan Tetap Lawan!" dan "Takbir". Muhyiddin dijadual berucap petang ini.

1:10 tgh : Dewan pada masa ini hanya dipenuhi sekitar 100 orang. Daripada jumlah itu hampir separuh adalah pengamal media, ramai yang sudah duduk dan ada yang sedang sibuk menyediakan peralatan video.

Zaid sudah berada dalam dewan bersama bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.

Di luar dewan, perwakilan masih berkeliaran dan berbual antara satu sama lain. Selain anggota sekretariat Kongres, aktivis Hishamuddin Rais juga dilihat bercakap kepada perwakilan lain.

Pemimpin tertinggi lain belum tiba dan tiada kehadiran polis berpakaian seragam dilihat dan tidak ada kenderaan polis di mana-mana tempat berhampiran.

12 tgh : Dua jam sebelum himpunan 'Selamatkan Malaysia', tetamu jemputan dan pemimpin mula tiba di Pusat Konvensyen Shah Alam Selangor.

Sekumpulan hampir 100 tetamu sedang menunggu untuk masuk ke dewan dengan kira-kira 1,200 kerusi disediakan.

Antara yang kelihatan adalah Setiausaha Agung Parti Amanah Negara Anuar Tahir, anggota Gabungan Ketua Cawangan Malaysia dan pendebat Asia Syed Saddique Syed Abdul Rahman.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.