malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Fathul Bari gesa tarik balik video 'bomoh tembikai'
Diterbitkan:  Mar 22, 2016 4:00 PM
Dikemaskini: 9:10 AM
ADS

Exco agama Pemuda Umno Fathul Bari Mat Jahya hari ini menggesa video ritual memohon hujan menggunakan tembikai oleh ‘raja bomoh’ Ibrahim Mat Zin yang dikongsi meluas di Internet ditarik balik.

Katanya, penyiaran video itu menyebabkan beberapa perkara negatif, termasuk memalukan diri pelaku sendiri, mempengaruhi masyarakat selain menimbulkan salah faham terhadap Islam.

Bagaimanapun, katanya, jika media terlibat tetap mahu membuat liputan, beliau mencadangkan dimuatkan juga teguran dan pembetulan.

“Saya bimbang jika ia hanya disiarkan tanpa teguran, perkara-perkara (negatif) di atas akan berlaku,” katanya.

Menulis di Facebook, Fathul berkata tindakan bomoh sama dalam pencarian pesawat hilang MH370 sebelum ini telah pun menjadikannya bahawa ketawa dan persendaan umum.

“Bahkan jika kita masih ingat video 'kelapa dan teropong', Tok Moh menjadi perbualan di peringkat antarabangsa. Ada yang ketawa dan ada yang mencerca.

“Jadi, ia hanya mengaibkan dan memalukan Tok Moh,” katanya.

Mufti Perlis Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam turut menyeru masyarakat bukan Islam tidak mengaitkan upacara Mat Zin dengan Islam.

Menyifatkannya tahayul, beliau mengingatkan bahawa Islam tidak membenarkan penganutnya melakukan perbuatan bodoh dan sia-sia serta membazir.

“Buah untuk dimakan bukan untuk dibazirkan secara sia-sia,” katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya semalam.

Menerusi sebuah rakaman video, Ibrahim menggunakan lima biji tembikai yang dipecahkan bersama empat orang lagi pengikutnya sambil melaungkan “Allahu Akbar”.

Turut dipaparkan dalam video sepanjang 1 minit 53 saat itu Ibrahim memulakan ritual dengan membaca beberapa ayat daripada surah Yasin diikuti bacaan doa.

Ibrahim sebelum ini pernah menjadi perhatian selepas mengadakan ritual mencari pesawat hilang Malaysia Airlines (MAS) menggunakan buah kelapa, bubu ikan dan bulu yang digunakan seperti teropong.

Lihat Komen