malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dua hakim sabitkan Anwar naik ke Mahkamah Persekutuan
ADS

Dua hakim Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman bersalah ke atas bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat, hari ini dinaikkan pangkat sebagai hakim di Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, yang mengetuai panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan dan Hakim Datuk Wira Aziah Ali yang juga adalah hakim kedua dalam panel itu dinaikkan pangkat ke mahkamah tertinggi di negara ini.

Mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini dan dikurniakan surat cara pelantikan pada majlis di Istana Negara hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Mereka adalah antara 16 hakim yang dinaikkan pangkat kerana mereka menerima surat pelantikan mereka.

Hakim Balia dan Aziah menggantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha yang telah bersara dan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang kini dilantik sebagai Peguam Negara.

Terdapat satu lagi kekosongan untuk jawatan hakim di Mahkamah Persekutuan berikutan persaraan Tan Sri Abdull Hamid Embong.

Tuanku Abdul Halim turut berkenaan mengurniakan surat cara pelantikan kepada sembilan Hakim Mahkamah Rayuan dan lima Hakim Mahkamah Tinggi .

Sembilan Hakim Mahkamah Rayuan itu terdiri daripada Datuk Zaleha Yusof, Datuk Kamardin Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Hasnah Mohammed Hashim, Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Asmabi Mohamad.

Lima yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pula ialah Siti Khatijah S Hassan, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab, Nantha Balan ES Moorthy, Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Turut hadir pada majlis itu ialah Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, pemangku Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Nurchaya Arshad dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif.

Lihat Komen