malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khairy sahkan pegawai KBS terbabit kes seleweng RM100j
ADS

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesahkan pegawai kanan kementeriannya terlibat berhubung isu penyelewengan dana kerajaan mencecah lebih RM100 juta.

Khairy berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa minggu lalu mengenai siasatan yang sedang dijalankan ke atas pegawai terbabit

"Saya ingin mengesahkan bahawa individu yang dirujuk adalah pegawai di Kementerian Belia dan Sukan (KBS)," katanya pada sidang media di Menara KBS, Putrajaya hari ini.

Media melaporkan suspek yang berusia 56 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya di Kajang, Jumaat lalu.

SPRM menyita beberapa barangan mewah termasuk 12 kenderaan antaranya Audi, Mercedes Benz, Nissan GTR dan Toyota Vellfire.

Antara barang mewah lain ialah jam berjenama Richard Mille (RM400,000), 40 beg tangan berjenama termasuk jenama Hermes (RM400,000), set cadar mewah (RM300,000), dan barang kemas termasuk cincin mutiara Cartier bernilai RM600,000.

Barangan yang disita berjumlah RM20 juta, sementara wang di dalam 69 akaun bank berjumlah RM8.33 juta dibekukan.

Lapan kontraktor termasuk seorang wanita ditahan kerana didakwa bersubahat dalam kes itu.

Mengulas lanjut, anggota Parlimen Rembau itu berkata pihaknya telah dimaklumkan berhubung perkara tersebut beberapa minggu lalu bahawa satu siasatan telah dijalankan ke atas pegawainya.

"Saya telah menyatakan kesediaan KBS dan agensi dibawahnya untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM supaya siasatan ini dapat dijalankan dengan pantas serta menyeluruh," kata Khairy.

Sehubungan itu, Khairy berkata KBS akan menubuhkan pasukan siasatan bebas untuk menyemak mekanisme dalaman dan proses tadbir urus berkaitan penyaluran dana di kementerian itu.

Khairy berkata, penubuhan pasukan siasatan bebas itu akan dilakukan Ketua Setiausaha Negara (KSN) tanpa melibatkan pegawai KBS.

Katanya, objektif utama pasukan itu adalah untuk memperbaiki kelemahan proses dalaman yang boleh menjurus kepada penyelewengan dana awam.

"Saya tegaskan pasukan siasatan yang akan ditubuhkan untuk melihat ‎pada prosuder mesti datang daripada KSN, pegawai terlatih, tiada pegawai dari KBS.

"Saya serahkan kepada pasukan bebas ‎yang akan ditubuhkan KSN untuk buat siasatan rapi," tambah ketua pemuda Umno itu lagi.

Lihat Komen