malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'IGP patut jadi penguatkuasa PBT jika mahu jaga papan iklan'
ADS

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu berundur dan memohon jawatan sebagai penguatkuasa majlis pihak berkuasa tempatan sekiranya terlalu bimbang dengan papan iklan, kata Naib Ketua Pemuda PKR Afif Bahardin, hari ini.

"Ketua Polis Negara patut bimbang isu jenayah yang lebih besar.

"Kalau IGP nak jaga Billboard , lebih baik kerja dengan PBT. Bukan jadi Yang di-Pertua tapi jadi penguatkuasa PBT," kata Afif diminta mengulas mengenai kenyataan Khalid mengenai papan tanda 'Bebas Anwar' yang didirikan di sekitar Selangor dan Pulau Pinang.

Afif berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Khalid semalam berkata polis akan bertindak terhadap Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos kerana mengancam untuk membakar papan tanda yang menyeru pembebasan mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khalid, bagaimanapun, berkata beliau mahu papan tanda, yang disifatkannya sebagai "menghasut" itu diturunkan.

"@PDRMsia kesan billboard (papan iklan itu) dengan kata-kata menghasut dan mengelirukan rakyat yang merujuk DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai 'Tahanan Politik'.

"Pada masa sama, PBT diminta turunkan billboard yang menghasut," kata Khalid di laman Twitter semalam.

Kenyataan Khalid itu susulan percubaan kedua Jamal untuk membakar papan tanda berkenaan di Sabak Bernam gagal apabila dihalang pihak polis.

Rabu lalu, Jamal mengugut untuk membakar papan tanda yang sama di Ampang, tetapi kemudian membatalkannya dengan meletakkan kain rentang sepanjang dua meter dengan butiran grafik mengenai liwat di papan iklan berkenaan.

Bukan isu

Mengulas lanjut, Afif mengulangi pendirian kerajaan Selangor bahawa papan iklan itu "bukan isu" kerana kelulusan telah diberikan oleh majlis-majlis perbandaran tempatan.

" Billboard tak jadi isu sebab dah dapat kebenaran PBT. Umno saja yang jadi masalah," katanya.

Dalam pertikaian ke atas status Anwar sebagai tahanan politik, Afif berkata pengiktirafan ini telah diberikan oleh kumpulan hak asasi antarabangsa seperti Amnesty International.

"Kalau IGP ada masalah dengannya, pergi dan lapor kepada badan antarabangsa," ujarnya.

Anwar, pada Februari tahun lalu, dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana meliwat, namun mendakwa ia bermotifkan politik.

Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga mengiktiraf pemenjaraan Anwar sebagai 'sewenang-wenangnya'.

Lihat Komen