Badan Peguam M'sia lulus usul gesa peletakan jawatan AG


(Dikemaskini )

Ahli-ahli Badan Peguam Malaysia telah mengundi untuk meluluskan satu usul semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) hari ini menggesa peletakan jawatan Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Ini telah disahkan oleh peguam yang hadir di AGM tersebut, walaupun mereka enggan mendedahkan maklumat lanjut sementara menunggu kenyataan rasmi dari Presiden Majlis Peguam, Steven Thiru.

Badan Peguam itu mahukan peletakan jawatan AG berikutan keputusannya untuk tidak meneruskan dakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung dengan deposit wang yang besar di dalam akaun Najib.

"Ia adalah gesaan peletakan jawatan, sepertimana gesaan peletakan jawatan yang lain, tetapi ini adalah gesaan yang dibuat oleh Badan Peguam Malaysia," kata Thiru dalam sidang akhbar selepas berakhirnya AGM ke-70 badan itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata ini sepatutnya boleh memberi tekanan kerana Badan Peguam Malaysia adalah badan tunggal yang mewakili peguam di Semenanjung Malaysia.

Usul yang dicadangkan oleh tiga ahli badan peguam itu menggesa Apandi meletakkan jawatan sebagai AG "untuk kebaikan Malaysia dan untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan persepsi terhadap kedaulatan undang-undang, khususnya pentadbiran keadilan jenayah di Malaysia".

Ia juga menggesa Apandi meletakkan jawatan sebagai pengarah Lembaga Tabung Haji dan apa-apa jawatan dalam mana-mana syarikat, badan berkanun dan entiti undang-undang, melainkan jika dikehendaki secara khusus oleh undang-undang.

"Peguam negara juga pendakwa raya, tidak boleh menjadi pengarah mana-mana entiti undang-undang, kerana ini akan menjejaskan kebebasannya," demikian menurut usul tersebut.

Usul itu juga menggesa peguam cara negara untuk mengambil alih tanggungjawab pendakwa raya dalam kes-kes yang berkaitan dengan Najib - 1MDB, SRC International, dan RM2.6 bilion yang terdapat dalam akaun bank peribadi Najib.

Badan Peguam Malaysia juga akan menggalakkan penubuhan sebuah suruhanjaya bebas untuk memilih dan mencadangkan calon-calon untuk jawatan peguam negara kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana, pada masa ini, Yang di-Pertuan Agong melantik AG atas nasihat perdana menteri, kata usul itu.

"Dalam amalan, ini bermakna perdana menteri memutuskan pelantikan dan penyingkiran peguam negara," kata usul itu lagi.

Thiru menegaskan bahawa usul menggesa peletakan jawatan Apandi adalah berasingan daripada semakan kehakiman yang difailkan oleh badan peguam itu terhadap Apandi.

Walaupun Thiru mengesahkan bahawa usul itu telah diluluskan oleh undi majoriti, tetapi beliau tidak mahu menyatakan undian tersebut kerana menurutnya, mesyuarat itu adalah mesyuarat peribadi.

AGM hari ini telah dihadiri oleh 1110 ahli Badan Peguam Malaysia dan kesemula lima usul telah diluluskan. Baca berita penuh]

Sementara itu, Badan Peguam Malaysia menafikan bahawa ia bersifat politik atau menjadi 'penyibuk' apabila membentangkan usul berkaitan dengan AG dalam AGM hari ini dan juga memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap AG.

"Badan Peguam bukan penyibuk. Apabila terdapat kebimbangan bahawa perlembagaan tidak dipatuhi atau berlaku salah faham atau disalah tafsir, maka sebenarnya setiap rakyat Malaysia mempunyai kepentingan di dalamnya," kata Thiru.

Sudah tentu, tegasnya, Badan Peguam mengambil berat tentang hal itu, "kerana di bawah Akta Profesion Undang-undang, kita wajib menegakkan kedaulatan undang-undang".

"Badan Peguam Malaysia diberi mandat untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, maka anda tidak boleh mengatakan kami penyibuk," katanya lagi.

Beliau menjawab kepada mereka yang mengkritik Badan Peguam kerana bersifat politik atau menjadi penyibuk kerana usul mereka menggesa peletakan jawatan Apandi, dan juga kerana memohon semakan kehakiman untuk mencabar keputusan AG yang tidak membuat pendakwaan terhadap Najib. [Baca berita penuh]




Pengiklanan