malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN I Saya dapat membayangkan bagaimana lebarnya senyum Cikgu Anuar (bukan nama sebenar) ketika dia membaca berita tentang kerjasama politik antara PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) pada 16 Mac lalu.

Beliau yang saya kenal ialah bekas orang kuat Umno Kulim - Bandar Baharu suatu masa dulu, iaitu ketika bahagian berkenaan diketuai Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir (kini Tan Sri).

Tentu tidak adil untuk menganggap Cikgu Anuar mengetahui segala macam cerita Abdul Kadir.

Namun, sebagai bekas orang kuat bahagian dan pernah mengikuti Abdul Kadir berkempen memenangi hati masyarakat, masih tidak keterlaluan untuk membuat kesimpulan bahawa Cikgu Anuar boleh memahami dengan baik kelebihan bekas menteri pusat tersebut.

Kini Cikgu Anuar sudah bersara, pernah mengagumi PAS - dan kecewa - serta kini menjadi orang penting di Pulau Pinang.

Dalam keadaan itu beliau tetap meminati politik dalam negara.

Apabila PAS mengambil pendekatan bersahabat dengan IKATAN, saya tidak dapat memastikan apa perasaan sebenar Cikgu Anuar.

Sudah teruji sebelum ini

Barangkali kami boleh sependapat - PAS memasuki fasa baru yang segar, cerah dan amat menjanjikan melalui langkah strategik terpilih itu.

Berbanding IKATAN, apa sangatlah pengaruh dan kekuatan yang ada pada PKR dan DAP sekarang jika percaturan mengenai masa depan parti Islam itu diambil kira.

Tambahan pula ketika mereka melangkah penuh istiqamah untuk menuju Putrajaya melalui pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Bayangkan saja begini: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan sembarangan orang. Orang nombor dua dalam kesatuan ulama dunia itu sudah teruji dengan pelbagai dugaan, termasuk menjadi menteri besar Terengganu selepas pilihan raya umum 1999.

Datuk Seri Adnan Yaakob sepatutnya malu dengan kemampuan Abdul Hadi menjadi menteri besar selama satu penggal (sebelum Terengganu jatuh semula kepada BN).

Beliau juga bukan orang asing bagi kerusi Parlimen Marang. Memanglah ada ketika beliau tewas kepada calon BN namun pada ketika lain dia menang juga.

Di belakangnya ada pula sebaris tokoh agamawan dan profesional yang bukan calang-calang. Sekadar menyebut beberapa nama - misalnya ada Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengepalai anak muda, Nasrudin Hasan sebagai ketua penerangan yang mantap dan Datuk Nik Mohd Amar Abdullah yang dilihat bakal menjadi satu lagi ikon menteri besar di negara ini.

Jentik dalam grup WhatsApp

Tidak cukup dengan itu ada banyak lagi nama besar dalam Jawatakuasa Pusat PAS sekarang, seperti Zaharuddin Mohamad dan Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang pintar membaca gerak politik kontemporari.

Kehebatan Zaharuddin dapat dilihat apabila beliau dengan gagah mencabar Datuk Husam Musa berdebat, manakala Mohd Zuhdi masih dikenang ramai dengan formula jentik dan sembang grup WhatsAppnya.

Di sisi yang lain pula ada Abdul Kadir mengetuai IKATAN bersama barisan kepimpinan yang diyakini beliau.

Dengan membawa slogan "Bersatu Maju Adil Bahagia" IKATAN - dan Abdul Kadir ( gambar ) - boleh dianggap komponen terbaik untuk PAS mendepani cabaran semasa dalam negara.

Terlalu banyak yang dapat diharapkan oleh rakyat Malaysia jika Abdul Hadi bersama pemimpin atasan PAS berpakat dengan IKATAN untuk mencorakkan masa depan negara.

Pengalaman Abdul Kadir yang begitu lama dalam Umno dan menjadi menteri di pelbagai kementerian tentu bermanfaat untuk mereka mengorak langkah menyusun strategi menghadapi BN dan Pakatan Harapan.

Dalam ungkapan lain, BN wajib berasa bimbang - atau amat bimbang - dengan kemunculan blok ketiga pembangkang itu. Hegemoni BN mungkin akan berkubur kerana pilihan raya umum perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2018.

Seandainya Parlimen dibubarkan lebih awal, bermakna blok ketiga pembangkang itu semakin hampir menguasai Putrajaya. Dan biarkanlah DAP, PKR dan Parti Amanah Negara berputih mata.

Jika itu ditakdirkan menjadi kenyataan, benar sangatlah ayat kegemaran sesetengah penyokong PAS, iaitu "Kalau Allah berkehendak...."

Abdul Hadi mungkin menjadi perdana menteri. Ketika itu kita berpeluang melihat - atau mendengar - beliau berkhutbah di Masjid Negara atau di Putrajaya dan disiarkan secara langsung oleh RTM.

Keadaan menjadi lebih mudah jika Abdul Kadir diberi portfolio Menteri Komunikasi dan Multimedia. Sebelum ini pun beliau memang pernah diberi kepercayaan menjadi Menteri Penerangan.

Dan ketika itu saya mengidamkan waktu untuk menikmati teh tarik bersama Cikgu Anuar dan kami boleh bersembang tentang masa depan sastera dan budaya negara.

Lihat Komen