malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Adakah Jamal seorang samseng berlesen?'
Diterbitkan:  Mar 16, 2016 3:30 PM
Dikemaskini: 8:14 AM
ADS

Pimpinan PKR dan sayap pemudanya (AMK) beserta penduduk Ampang akan membuat laporan polis terhadap ancaman untuk membakar papan tanda 'Selamatkan Anwar' yang dipasang sekitar daerah itu.

NGO #BebasAnwar berkata ia berikutan seruan Pengerusi Gabungan NGO-NGO Selangor Datuk Jamal Md Yunos untuk membakar papan tanda berkenaan yang dijadual berlangsung jam 3 petang ini.

"Di Malaysia, perbuatan arson (pembakaran sengaja) adalah salah di sisi undang-undang.

"Pesalah yang didakwa boleh dihukum penjara antara 7 sehingga 20 tahun serta denda jika disabit kesalahan, seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 435, 436 dan 438 Kanun Keseksaan," kata NGO berkenaan dalam satu kenyataan.

Sementara itu NGO #BebasAnwar berkata permit untuk menaikkan papan tanda tersebut telah diluluskan oleh kerajaan tempatan masing-masing.

Bahkan katanya, NGO dan parti politik pembangkang juga tidak pernah menggunakan keganasan atau membuat ugutan bakar sebagai tindak balas terhadap papan tanda Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), 1Malaysia dan sebagainya.

"Keganasan dan budaya politik samseng yang ditunjukkan oleh Datuk Jamal Md Yunos ditolak oleh masyarakat Malaysia yang cintakan keamanan.

"Pembakaran seperti ini akan turut menjejaskan kedai-kedai dan kediaman-kediaman yang bersekitaran. Apakah Datuk Jamal Yunos kini seorang “samseng berlesen”?," soalnya.

Semalam, Jamal dalam kenyataan berkata protes itu akan dilakukan berhadapan restoran di Taman Ahmad Razali, Ampang, Selangor.

Bantahan ini katanya bagi memberi isyarat kepada pihak terlibat termasuk Pihak Berkuasa Tempatan dan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Datuk Seri Azmin Ali yang didakwa 'menghina keputusan mahkamah' dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lihat Komen