malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dua novel tempatan dicalon Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin
Diterbitkan:  Mar 10, 2016 9:32 PM
Dikemaskini: 1:33 PM
ADS

Dua buah novel karya penulis tempatan tercalon untuk Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin (ASAD) 2016 pada 9 Jun depan bagi kategori novel bahasa Inggeris atau novel diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Novel tersebut ialah 'Tree of Sorrow' yang diterjemahkan daripada 'Luka Naning' dan 'The Michelangelo Code', masing-masing hasil karya Malim Ghazoli dan Nazehran Jose Ahmad.

Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Abang Patdeli Abang Ali berkata kedua-dua novel tersebut dicalonkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia dan ini merupakan kali pertama hasil karya negara tercalon dalam ASAD.

ASAD yang dianjurkan oleh Dublin City Council memasuki tahun ke-21penganjurannya pada tahun ini.

"Novel yang tercalon ini sudah menjadi satu kebanggaan buat negara, jika menang, itu satu bonus," katanya kepada pemberita selepas majlis Bicara Karya 'Tree of Sorrow' anjuran bersama DBP dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya di Kuala Lumpur, hari ini.

Abang Patdeli berkata DBP turut berbangga dengan pencalonan tersebut memandangkan karya 'Tree of Sorrow' merupakan terbitan pihaknya.

Sementara itu, penulis 'Luka Naning' dan 'Tree of Sorrow' Malim Ghazoli berkata pencalonan karyanya dapat membantu perkembangan industri penulisan tempatan.

Katanya setiap penulis harus mempunyai keinginan untuk mencabar diri mereka ke tahap yang lebih tinggi.

"Penulis perlu variasikan hasil karya mereka, tidak hanya tumpukan pada satu bahasa sahaja, barulah karya itu dapat menembusi pasaran antarabangsa," katanya.

Sebanyak 160 buah buku daripada 44 buah negara mengambil bahagian dalam pertandingan itu dan hanya seorang pemenang dipilih menerima ASAD 2016.

Anugerah berkenaan sebelum ini dikenali Anugerah Sastera Antarabangsa IMPAC Dublin dan menawarkan hadiah utama berjumlah RM470,000 (100,000 Euro).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen