malaysiakini logo
story-image
ADS

Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan hari ini mendakwa pelaksaan Program Dwibahasa (DLP) di sekolah kebangsaan sebagai 'penzaliman kebudayaan'.

Ini kerana, kata pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Borhan, pelaksaan DLP tidak dibuat kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Malah, Zainal berkata pelaksaan DLP di sekolah kebangsaan adalah penafian keadilan kepada pelajar Melayu.

"Satu penzaliman kebudayaan sedang berlaku dari sudut fitrah di mana SJKC dan SJKT dibenarkan belajar dalam bahasa ibunda masing-masing.

“Tetapi anak Melayu pula dipaksa untuk belajar ilmu Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Itu satu penzaliman kebudayaan.

"Ini satu penafian keadilan kepada pelajar Melayu di mana baginda Sultan Perak bertitah SJKC dan SJKT dapat pendidikan dalam bahasa ibunda mereka tapi satu penafian keadilan kepada pelajar Melayu walaupun itu projek rintis," kata Zainal.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat Angkatan Belia Malaysia (ABIM) Pusat, di Kuala Lumpur hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini ketika membentangkan Bajet 2016 berkata pelaksanaan DLP dalam mata pelajaran Matematik, Sains, Reka Bentuk dan ICT mula diperkenalkan kepada pelajar Tahun 1, Tahun 4 dan Tingkatan 1 di 300 sekolah kebangsaan bermula awal tahun ini.

Program itu adalah sebagai langkah bagi mengatasi kelemahan pengusaan Bahasa Inggeris pelajar khususnya pelajar Melayu.

Mengulas lanjut, Zainal mendakwa pelajar kini seolah-olah dijadikan mangsa kerajaan dalam pelaksanaan DLP.

"Seolah-olah pelajar Melayu menjadi mangsa dan ini adalah penafian yang amat dahsyat, tak tahulah seandainya pelajar ini sengaja dijadikan mangsa dalam pelaksanaan sistem pendidikan yang dicadangkan oleh pihak kementerian.

"Yang terkini keputusan PT3, jumlah kemasukan ke asrama penuh dalam bidang kejuruteraan terpaksa diturunkan grednya kerana hendak meramaikan," kata Zainal.

Sementara itu, Setiausaha Agung ABIM, Mohamad Faisal Abdul Aziz mempersoalkan tindakan kerajaan yang sehingga hari ini tidak pernah mengetengahkan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus dalam mana-mana peperiksaan.

"Soalan ringkas saya kepada kerajaan kenapa sehingga hari ini tidak meletakkan subjek BI sebagai subjek wajib lulus di seluruh negara? soal Mohammad Faisal dalam sidang media yang sama ketika diminta mengulas apakah cara terbaik begi mengatasi kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Malah, Faisal mendakwa kerajaan tidak mempunyai keberanian untuk berbuat demikian.

"Keyakinan kita kerajaan tak berani dan kerajaan tahu bahawa kemungkinan besar ramai tidak akan lulus dalam subjek itu.

"Jadi, ini jelas menunjukkan kerajaan sendiri tidak yakin dengan sistem yang mereka guna. Sistem mereka mengajar BI di sekolah dengan gurunya gagal untuk memastikan pelajar lulus di seluruh negara dalam SPM khususnya," tambah Faisal.

Lihat Komen