ULASAN Tidak payah bagi saya membuat keputusan untuk menerima jemputan dari bekas perdana menteri Tun Mahathir bagi sama-sama hadir di majlis menandatangani ‘Deklarasi Rakyat’ bagi menyelamatkan negara yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM) beberapa hari lepas.
Sewaktu saya menjadi pensyarah UM hampir 20 tahun lalu, dalam penulisan-penulisan akademik, saya sering mengkritik polisi dan gaya kepimpinan Dr Mahathir.
Begitu juga sewaktu menjadi ahli parlimen, saya secara terbuka mengkritik polisi serta tindakan kejam beliau terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Imbauan sejarah pada 2hb September 1998, sebaik sahaja Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri oleh Dr Mahathir sendiri, saya menerima panggilan telefon dari almarhum presiden PAS Datuk Fadzil Noor untuk menemani beliau berkunjung ke rumah Anwar di Bukit Damansara.
Saya tidak teragak-agak menemani ahmarhum yang datang dari Alor Setar dengan menaiki pesawat dan hanya berbekalkan sehelai pakaian yang disimpan dalam beg plastik murah yang dibawa dengan tangan.
Di kediaman Bukit Damansara itulah saya menjadi saksi melihat dengan sendiri almarhum membuktikan kematangan politik dengan mengambil keputusan bersama dalam sidang media Anwar.
Dan di hadapan ratusan pemberita dalam dan luar negara, beliau secara terbuka menyatakan sokongan dan simpati kepada Anwar yang dipecat ketika itu.
Tidak sedikit yang menyanggah langkah almarhum pada waktu itu.
Kehadiran saya bersama Dr M...
Anwar dianggap oleh ramai kalangan pimpinan dan pengikut PAS pada waktu itu sebagai ‘pengkhianat’ dan musuh utama yang telah merosakkan gerakan Islam.
Ternyata keputusan politik almarhum yang jelas, tanpa hujah bersifat pusingan u serta berbelit-belit, telah menghasilkan ‘kejayaan politik’ kepada PAS.
Beliau sebagai presiden PAS telah meletakkan dirinya bersama-sama anak-anak muda arus ‘reformasi’ sehingga menggugat pemerintahan Dr Mahathir.
Beliau juga bersama-sama kepimpinan NGO lain telah menubuhkan GERAK dan berjaya menggembleng kekuatan reformasi rakyat Malaysia bagi menolak kerajaan Umno/BN.
PAS menang besar dalam pilihan raya umum 1999 dengan mempertahankan negeri Kelantan dengan lebih bergaya serta berjaya merampas Terengganu setelah hampir 40 tahun diperintah Umno.
Seperti kata pepatah Inggeris: the rest is history (yang berlaku selepasnya sudah diketahui umum).
Kehadiran saya bersama rakan-rakan dari masyarakat sivil, parti politik dan individu-individu termasuk Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk S Ambiga, Maria Chin, Datuk Seri Azmin Ali, Tun Ling Leong Sik, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan lain-lain adalah untuk menggembleng kekuatan dan persefahaman bersama.
Ia bagi menyelamatkan negara yang sedang parah berhadapan ‘krisis keyakinan’ yang boleh menghancurkan negara.
Bukan ke arah negara anarki
Dekralasi Rakyat yang ditandatangai bersama ini pula suatu sejarah baru politik negara di mana pimpinan politik tanpa mengira fahaman, kaum dan agama serta pimpinan masyarakat sivil buat pertama kalinya bergabung untuk menuntut peletakan jawatan Dato Seri Najib Razak selaku perdana menteri Malaysia.
Beliau ternyata gagal mengurus dan mentadbir negara dengan baik.
Deklarasi rakyat ini telah membuka jalan mereformasikan seluruh institusi yang hampir runtuh demi proses demokrasi dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman bagi memastikan kebebasan, kredibiliti, profesionalisme serta integriti institusi-institusi nasional.
Yang lebih penting tuntutan peletakan jawatan perdana menteri ini bukanlah peralihan kuasa seseorang individu semata-mata.
Ia meliputi tuntutan perubahan menyeluruh yang juga melibatkan reformasi institusi utama dalam negara yang kini pincang.
Ia bukan untuk mengheret negara ke arah anarki yang merosakkan kestabilan politik negara, ia juga bukan untuk menjahanamkan ekonomi negara dan jauh sekali bukan untuk menyengsarakan rakyat!
Sudah sampai masanya sentimen politik sempit kepartian serta politik holier-than-thou (yang merasakan diri mereka lebih bermoral dan beragama dari yang lain) mesti diketepikan oleh semua pihak bagi menyelamatkan negara.
Pimpinan politik dari semua parti pula mesti lebih matang menentukan hala tuju negara dengan meletakkan diri mereka sebagai ‘negarawan’ yang sanggup menjadi benteng bagi menyelamatkan negara dari kancah kehancuran yang berterusan ini.
DR SYED AZMAN SYED AHMAD rakyat Malaysia yang peduli.