malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengasih sokong kaji semula kesalahan ambil ganja
Diterbitkan:  Feb 22, 2016 7:19 AM
Dikemaskini: Feb 22, 2016 2:48 AM
ADS

Persatuan Pengasih Malaysia menyokong cadangan untuk mengkaji semula kesalahan pengambilan ganja kerana kesalahan itu tidak termasuk dalam Akta Dadah Berbahaya.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohd Yunus Pathi Mohd berkata terdapat beberapa negara meletakkan ganja di bawah akta dadah bukan berbahaya seperti Australia, Amerika Syarikat dan Portugal.

Mohd Yunus berkata akta sedia ada tidak setimpal malah menyebabkan pembaziran masa terutama semasa siasatan kes dijalankan sebelum disabitkan kesalahan dan melibatkan kos yang tinggi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kerohanian dan Keagamaan Parlimen Belia Malaysia, Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli supaya kerajaan memperhalusi dasar pengharaman ganja mengikut situasi semasa dengan melihat kegunaannya dari aspek positif.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yunus berkata rumah pemulihan Pengasih akan dibina di Pantai Teluk Dalam, Pulau Pangkor dalam masa terdekat dan ia memakan masa tiga bulan untuk siap.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis penutupan Bengkel Keluarga Bahagia Memperkasakan Agen Perubahan Masyarakat yang dirasmikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Kejora Pulau Pangkor semalam.

Bengkel tiga hari anjuran Persatuan Pengasih Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu disertai 50 peserta.

- Bernama

Lihat Komen