malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Apa sebenarnya DLP yang ditentang aktivis bahasa?
Diterbitkan:  Feb 15, 2016 2:47 PM
Dikemaskini: 7:19 AM
ADS

PANDUAN Program Dwibahasa (DLP) diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2016 pada tahun lalu.

Tidak lama kemudian ada kumpulan tertentu menyatakan rasa curiga dan kurang senang terhadap cadangan yang dilihat sebagai cubaan menghidupkan semula pelaksanaan dasar yang pernah dimansuhkan sebelum ini.

Berikut sedikit sebanyak maklumat mengenai DLP sebagai panduan:

Apakah DLP?

DLP adalah projek perintis dicadangkan Kementerian Pelajaran Malaysia yang bertujuan untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Dilaksanakan mengikut Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) ia dilakukan di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan di bawah kelolaan kementerian.

Sebanyak 300 sekolah terlibat dalam projek berkenaan.

Adakah semua sekolah perlu laksanakannya?

Menurut maklumat kementerian, sekolah yang layak diberi pilihan melaksanakan DLP bagi sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris (selain subjek Bahasa Malaysia), iaitu matematik, sains, teknologi maklumat dan komunikasi, serta reka bentuk dan teknologi.

Untuk pelaksanaan rintis DLP, subjek yang terlibat ialah matematik dan sains untuk murid tahun satu, tahun empat dan tingkatan satu.

Apakah matlamat DLP?

Menurut keterangan kementerian DLP dilaksanakan untuk menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris melalui pendedahan tambahan secara tidak langsung.

Dengan pengukuhan itu, kata kementerian, seseorang murid memiliki akses lebih luas terhadap penerokaan ilmu untuk bersaing di peringkat global.

Turut dijadikan hujah, DLP juga meningkatkan kebolehpasaran murid di alam pekerjaan.

Sesebuah sekolah diberi pilihan untuk melaksanakan DLP atau sebaliknya. Sekolah yang berminat dan memenuhi syarat ditetapkan boleh membuat permohonan rasmi kepada pejabat pendidikan daerah (PPD) masing-masing.

Apakah syarat/kriteria untuk melaksanakan DLP?

Sekolah memiliki sumber (buku teks, bahan rujukan, bahan bantu mengajar dan sebagainya) yang mencukupi.

Pengetua/guru besar dan guru bersedia melaksanakan DLP

Pihak sekolah perlu bersedia bekerjasama dengan PPD dan jabatan pendidikan untuk jangka panjang dan pendek.

Mendapat permintaan dan sokongan daripada ibu bapa.

Persetujuan mestilah secara bertulis.

Pencapaian Bahasa Melayu mestilah sama atau menyamai pencapaian purata kebangsaan subjek Bahasa Melayu.

Pelaksanaan DLP

Setiap kelas mesti mempunyai sekurang-kurangnya 15 murid tanpa perlu menjejaskan bilangan kelas sedia ada.

Kelas itu pula perlu menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya untuk pengajaran dan pembelajaran subjek yang terlibat.

Apakah subjek yang terlibat?

Sekolah rendah:

  • Dunia Sains dan Teknologi Tahun 1
  • Matematik Tahun 1
  • Sains Tahun 4
  • Matematik Tahun 4

Sekolah menengah:

  • Sains Tingkatan 1
  • Matematik Tingkatan 1

Taksiran

Semua peperiksaan awam bagi subjek sains dan matematik akan disediakan dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris mulai 2016.

Pentaksiran sekolah bagi subjek yang terlibat dalam program DLP perlu disediakan dalam bahasa pengantar yang digunakan.

Bolehkan pengecualian diberikan?

Memetik maklumat di laman sesawang Kementerian Pelajaran, sesebuah sekolah yang tidak berminat atau tidak bersedia mengambil bahagian dalam DLP perlu menulis surat secara rasmi kepada PPD masing-masing "dalam tempoh lima hari dari tarikh surat (berkaitan) berkuat kuasa".

Mengikut semakan surat berkenaan bertarikh 3 Disember 2015, bermakna pengecualian perlu dibuat selewat-lewatnya 8 Disember 2015.

Salinan surat berkenaan perlu dikemukakan kepada pengarah jabatan pendidikan negeri dan pengarah bahagian pengurusan sekolah harian.

Mengapakah DLP dibantah?

Bagi pengkritik DLP dilihat sebagai satu cubaan mengembalikan cadangan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains Matematik dan Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan secara rasmi pada 2012.

Siapakah yang membantah DLP?

Selain orang perseorangan sebuah pertubuhan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) menjadi kumpulan pendesak utama menolak pelaksanaan DLP. Turut membuat kenyataan sebelum ini ialah persatuan penulis dan parti politik.

GMP dianggotai sasterawan-sasterawan negara, penulis, profesor, pejuang bahasa dan orang persendirian.

Lihat Komen