malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
RM2.6 bilion tak cukup hadapi PRU- Annuar
Diterbitkan:  Feb 14, 2016 2:57 PM
Dikemaskini: 7:11 AM
ADS

Derma sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan jumlah "yang besar" untuk menghadapi satu pilihan raya umum (PRU) kata, Ketua Penerangan Umno yang baru Tan Sri Annuar Musa.

Dalam temubual bersama akhbar berbahasa Inggeris, The Star Annuar berkata buat masa ini tiada peraturan atau penanda aras yang menentukan dana untuk parti-parti politik.

"Ia sangat mudah. Kamu perlu mempunyai peraturan. Itu adalah penanda aras bagi apa yang boleh dan tak boleh. Undang-undang yang akan memutuskan.

"Jika tidak mempunyai undang-undang, maka di mana penanda aras itu? RM2.6 bilion untuk menghadapi satu pilihan raya umum (jumlah) tidak besar!" kata anggota parlimen Ketereh itu.

Beliau mengulas soalan mengenai kewajaran Najib sebagai presiden Umno menerima sumbangan tanpa pengetahuan pemimpin parti yang lain termasuk Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, Annuar mendakwa pakatan pembangkang turut mempunyai cara mereka sendiri untuk mendapatkan "sejumlah dana yang besar" sebelum PRU ke-13 pada 2013.

"Saya tidak mahu katakan dari mana, tetapi kita tahu terdapat beberapa parti dan rakyat yang juga sebagai sumber pembiayaan kepada pembangkang, tetapi ia tidak penting untuk saya bercakap mengenai bagaimana dan di mana mereka mendapatkan duit mereka.

"Apa yang cuba saya katakan ialah, kita perlu mempunyai undang-undang di mana anda boleh tetapkan penanda aras yang jelas tentang apa yang boleh dan tak boleh.

"Ada beberapa perkara yang saya tidak boleh jelaskan kepada anda dalam temubual ini dengan mengambil kira apa yang telah kami hadapi dalam pilihan raya umum sebelum ini.

"Ada di antara soalan yang saya tidak bersedia untuk berkongsi dengan anda," kata Annuar.

Jentera minta wang dari presiden

Ditanya sama ada Najib beretika untuk menerima sumbangan itu secara peribadi, Annuar menegaskan bahawa ia beretika dan berdasarkan kepada peraturan.

"Ia sangat tidak beretika untuk perdana menteri, untuk presiden Umno jika parti tidak mempunyai wang yang cukup untuk menghadapi pilihan raya umum. Ia semudah itu!

"Anda mesti mempunyai wang yang cukup. Dalam sistem Umno, pembiayaan itu hanya datang dari presiden. Kami tidak pernah persoalkan.

"Jentera dan semua orang parti akan meminta wang daripada presiden parti, walau siapa pun presiden parti," katanya sambil menambah bahawa isu pembiayaan adalah sesuatu yang perlu parti elakkan daripada membincangkannya di khalayak.

"Saya boleh katakan sesuatu tentang bagaimana (bekas perdana menteri) Dr Mahathir (Mohamad) mengendalikan pilihan raya. Saya nampak beberapa perkara dengan mata saya sendiri. Tetapi jika kita terus membincangkan perkara ini, kita akan jatuh dalam perangkap pembangkang (jadi saya tidak mahu ia terjadi)," katanya lagi.

Walaupun ketika ini tidak ada undang-undang di Malaysia yang mengawal pembiayaan dana politik, tetapi Seksyen 19 (1A) Akta Kesalahan Pilihan Raya menyatakan bahawa setiap calon hanya dibenarkan untuk menghabiskan maksimum sebanyak RM200,000 bagi satu kerusi parlimen dan RM100,000 untuk satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

BN meletakkan seramai 220 orang calon bagi kerusi parlimen dan 505 bagi calon DUN semasa PRU13.

Jika mengikut had yang dikenakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, jumlah yang boleh dibelanjakan oleh semua calon BN hanya kira-kira RM94.5 juta.

Lihat Komen