malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nak tolong tapi dipanggil kel***
Diterbitkan:  Jan 5, 2016 12:31 PM
Dikemaskini: 4:48 AM
ADS

Seorang doktor perubatan melahirkan rasa kecewa apabila niatnya untuk membantu seorang mangsa kemalangan ditolak.

Malah, doktor tersebut juga dipanggil dengan gelaran berbaur perkauman ketika dia cuba membantu mangsa tersebut.

Menulis di Facebooknya, doktor yang menggunakan nama Shalini Paramaswaran berkata, semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya, seorang lelaki tua yang menaiki motosikal cuba membuat pusingan U.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan terbabas dan terjatuh sehingga menyebabkan motosikalnya menghempap lelaki itu.

Selepas itu, Shalini cuba memperkenalkan dirinya untuk membantu lelaki tua berkenaan, tetapi respon yang diterima sebaliknya.

"Aku tak nak kel*** datang dekat aku ke, tolong aku ke... banyak orang boleh tolong," kata lelaki itu tulis Shalini.

Selepas itu, Shalini berkata dia menghubungi ambulans dan menunggu pasukan perubatan tiba.

Ketika pasukan perubatan tiba ke lokasi kejadian, seorang pembantu perubatan bertanyakan sama ada Shalini yang merupakan seorang doktor telah membuat pemeriksaan kepada lelaki tersebut.

Tetapi Shalini hanya membalas: "Pak cik tak nak saya sentuh dia... Jadi saya panggil ambulans dan tunggu sini, (untuk) pastikan tak ada orang gerakkan pakcik," katanya.

Shalini menulis lagi, selepas lelaki berkenaan mendengar pembantu perubatan memanggilnya dengan gelaran doktor, lelaki itu terus berkata sambil tersenyum:

"Saya tak tahu awak doktor. Doktor boleh sentuh," tulisnya.

Selain kesal, Shalini juga berkata yang beliau bosan dengan pemikiran sesetengah pihak.

"Sebelum tahu saya seorang doktor, saya ialah seorang "k*****" yang kotor, tak boleh sentuh. Lepas tahu, terus senyum dan minta maaf.

"# sickmentality of some people ," tulis Shalini lagi.

Tulisan di Facebook Shalini dikongsi meluas.

Lihat Komen