malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jasad mangsa nahas di Chiang Mai tiba di tanahair
Diterbitkan:  Dec 23, 2015 5:59 AM
Dikemaskini: Dec 23, 2015 8:00 AM
ADS

Kesemua jasad 13 rakyat Malaysia yang maut dalam nahas bas pelancong di Chiang Mai, Thailand pada Ahad, tiba di tanah air awal pagi ini.

Selain yang terkorban, turut dibawa pulang melalui penerbangan ihsan menggunakan dua pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Diraja Thailand itu adalah seorang warga Malaysia yang cedera dalam kejadian itu serta waris mereka.

Pesawat TUDM tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang pada jam 3.32 pagi manakala pesawat Tentera Udara Thailand pula pada 3.38 pagi selepas penerbangan kira-kira 3 jam dari Chiang Mai, yang terletak 700 km ke utara Bangkok, ibu negara Thailand.

Turut kelihatan menyambut kepulangan mangsa insiden tragik itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong.

Bas yang membawa 22 warga Malaysia itu terlibat dalam nahas pada jam 11.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia) pada hari kejadian.

Laporan berita sebelum ini menyebut bas itu terbabas selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pikap ketika dalam perjalanan dari wilayah Chiang Rai ke wilayah Chiang Mai.

Setibanya di Pangkalan Udara TUDM, setiap keranda diusung oleh lapan anggota TUDM untuk dimasukkan ke dalam kenderaan jenazah.

Seorang anggota keluarga kelihatan memegang sebuah daripada keranda itu sambil kedengaran berkata kepada jasad bapanya "Jom kita balik rumah di Batu Pahat" dalam bahasa Mandarin.

Kesemua kenderaan jenazah mula meninggalkan pangkalan udara itu pada jam 4.23 pagi untuk ke Batu Pahat bagi urusan selanjutnya.

Sementara itu, mangsa yang cedera iaitu Lee Siew Kim, 61, terus dimasukkan ke ambulans setibanya di pangkalan udara itu untuk dibawa ke Hospital Batu Pahat.

Keadaan wanita itu dilaporkan stabil.

Lapan lagi rakyat Malaysia yang cedera masih dirawat di hospital di Chiang Mai, termasuk lima yang cedera parah.

'Ayah, jom kita balik rumah'

"Ayah, jom kita balik rumah," kata Lum Ker Sin, sebaik sahaja jasad bapanya, Lum See Seng, 63, yang terkorban dalam nahas bas di Chiang Mai, Thailand pada Ahad lalu, tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang awal hari ini.

Anak perempuan See Seng itu merupakan antara anggota keluarga 13 rakyat Malaysia yang maut dalam nahas tragik itu yang diterbangkan ke Chiang Mai untuk urusan pengecaman mayat sebelum dibawa pulang ke tanah air hari ini.

Ker Sin, 23, mengiringi keranda bapanya yang diusung keluar dari pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Thailand bersama-sama 12 keranda jasad mangsa yang lain.

Ketika keranda bapanya hendak dimasukkan ke dalam kereta jenazah, Ker Sin yang berkemeja-T putih dan berseluar jeans biru, memegang keranda itu dan kedengaran mengungkapkan:

"Ayah, kita sudah sampai ke Malaysia. Jom kita balik rumah kita di Batu Pahat pula," dalam bahasa Mandarin dengan penuh hiba dan sayu.

Ketika ditemui pemberita, Ker Sin berkata mayat bapanya, seorang penjual teh herba di Batu Pahat, akan dibakar terlebih dahulu mengikut upacara agama Buddha sebelum disemadikan di Batu Pahat.

Selain jasad 13 rakyat Malaysia yang maut dalam nahas itu, turut dibawa pulang ialah seorang daripada lapan mangsa yang cedera iaitu Lee Siew Kim, 61, serta waris mangsa yang terlibat.

Ketibaan mereka disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun.

Mah, yang juga Presiden Gerakan, berkata pihaknya sedia menghulurkan bantuan dari segi pengangkutan dan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa nahas bas itu.

"Kami akan bekerjasama dengan MCA dari segi memberi khidmat kaunseling kepada mangsa dan anggota keluarga mereka yang masih trauma dengan kejadian nahas itu," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Pengurus Besar Chiu Travel Sdn Bhd Terence Young berkata kesemua kenderaan jenazah itu dijangka tiba di Batu Pahat pada 8 pagi ini.

Beliau berkata turut berada dalam konvoi 13 kereta jenazah itu adalah sebuah bas yang membawa waris mangsa, sebuah ambulans, dan kereta satu daripada keluarga mangsa, diiringi tiga kenderaan polis.

"Kesemua jasad akan dibawa ke beberapa buah rumah urus mayat sebaik tiba di Batu Pahat," katanya kepada Bernama semasa dihubungi hari ini.

Sementara itu lima mayat dibawa ke rumah urus mayat Koon Yew.

Mereka ialah mayat pasangan suami isteri Ong Pek Ming, 61, dan isterinya Chua Ah Kim, 55, yang meninggalkan tiga orang anak berumur sekitar 20-an; dan Ker Ah Hwee, Wong Yoke Ying serta Png Ee Ting.

Mayat dua adik beradik Ong Chai Hong, 58, dan Ong Chui Hoe, 53, dibawa rumah masing-masing di Parit Haji Sidek.

Suami mereka iaitu Goh Bak Chai (suami Chai Hong) dan Teo Tien Chor (suami Chui Hoe) terselamat dan masih dirawat di hospital di Chiang Mai.

- Bernama

Lihat Komen