malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dakwaan terbaru NOW, Yapeim miliki simulator golf
ADS

Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) hari ini mendakwa Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) memiliki peralatan simulator golf di sebuah pusat latihan.

Pengarah NOW Akmal Nasrullah Mohd Nasir mempersoalkan keperluan Yapeim untuk memiliki simulator itu sedangkan ia sebuah yayasan berteraskan amal jariah dengan misi ‘Membangun Ummah Melalui Budaya Beramal Jariah’.

Pada sidang akhbarnya hari ini, Akmal membentangkan dua dokumen - penyata kewangan Yapeim 2014 dan belanjawan Yapeim 2013.

"Laporan Bajet 2013 menunjukkan bahawa Kelab Sukan Korporat Yapeim telah menjalankan lapan aktiviti golf bersama warganya dan kakitangan agensi-agensi lain," katanya.

"Aktiviti lain (golf) adalah untuk menubuhkan sebuah 'Pusat Latihan Input Golf’ sebagai khidmat latihan program sukan korporat untuk Yapeim," menurut laporan bajet 2013 itu.

Input atau Institut Penyelidikan dan Perundingan Yapeim Sdn Bhd, adalah salah satu daripada enam anak syarikat yang dimiliki oleh Yapeim.

Perniagaan utama Input adalah untuk menyediakan perkhidmatan latihan, penyelidikan dan perundingan mengenai pelbagai perkara yang memberi faedah kepada masyarakat Islam mengikut sistem pengurusan moden yang berlandaskan hukum Syarak.

Menurut Akmal Nasrullah, penyata kewangan 2014 menyenaraikan simulator golf itu sebagai antara aset yang susut nilai.

Salinan penyata kewangan dan bajet itu juga diedarkan kepada media.

"Berdasarkan maklumat awam, NOW melawat simulator golf sukan Input," kata Akmal Nasrullah.

Beliau juga menunjukkan gambar pusat sukan itu yang didakwanya terletak di pusat komersial popular, Mentari Business Park.

Gambar itu juga memaparkan papan tanda "Pusat Latihan INPUT Golf" dan papan tanda dimiliki oleh "YaPEIM INPUT" di hadapan premis tersebut.

Sehubungan itu, beliau menuntut Yapeim mendedahkan kos dan jumlah peralatan simulator golf yang dibeli.

Malaysiakini telah cuba menghubungi Timbalan Presiden Yapeim Datuk Zaleha Hussin untuk mendapatkan ulasannya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen