Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria menyarankan agar tokoh profesional Melayu yang membentuk kumpulan G25 bertaubat kerana cadangan mereka untuk meminda atau memansuhkan undang-undang antikhalwat boleh membawa kepada murtad.
Tegas Harussani lagi, selain bertentangan dengan perlembagaan, tindakan G25 itu merupakan ancaman kepada umat Islam.
Menurutnya, jika G25 berpendapat perbuatan khalwat adalah hak asasi manusia, hujah yang sama boleh digunakan untuk kesalahan lain seperti mencuri atau membunuh.
“Pada saya gerakan ini (G25) kelihatan seperti kumpulan orang putus asa, mungkin kerana mereka tidak diberi kesempatan atau peluang selepas pencen, sebab itu cari jalan ini.
“Saya minta kumpulan ini bertaubatlah dan buat kerja amal yang lebih baik daripada rosakkan agama, pecah-belahkan umat Islam. Lebih baik mereka buat persatuan menggunakan kebijaksanaan untuk membantu perkara-perkara yang membangunkan umat. Janganlah kita terbawa-bawa dengan budaya Barat,” kata lapor Utusan Malaysia .
Semalam, G25 menyatakan mereka mahu jawatankuasa perunding ditubuhkan bagi membincangkan pindaan atau pemansuhan beberapa undang-undang syariah termasuk hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub di dalam perlembagaan.
Jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin (
gambar
) berkata, dengan berpandukan prinsip perlembagaan, kumpulan tersebut menentang sebarang hukuman terhadap perbuatan khalwat jika dilakukan di rumah persendirian kerana itu adalah hak dan privasi setiap individu.
Dalam pada itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad berkata tindakan kumpulan tersebut mengangkat perjuangan hak privasi individu menggambarkan seolah-olah mereka membelakangkan hak yang lebih agung iaitu hak Tuhan.
“Undang-undang khalwat ini dibuat sebagai mekanisme membasmi kemungkaran dalam masyarakat. Tindakan dalam mencegah kemungkaran ini sememangnya adalah peraturan Islam.
“Kita juga ada hak masyarakat. Bagaimana hendak asingkan hak individu dengan hak masyarakat sedangkan kita semua hidup dalam satu rangkaian tanggungjawab kepada satu sama lain?” soalnya.
Kena ada hujah konkrit
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, prinsip perlembagaan tidak mengatasi al-Quran kerana "kalam Allah itu mengatasi segala-galanya".
Tegas Mohd Yusof, telah termaktub dalam perlembagaan bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan.
“Jadi bagaimana pula khalwat itu dikatakan perkara peribadi dan tidak boleh dijadikan sebagai jenayah? Kumpulan bekas penjawat awam (G25) bercakap tanpa pengetahuan tentang jenayah Islam yang ditetapkan oleh al-Quran,” katanya.
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meminta G25 tidak terlalu ghairah meniru gaya hidup masyarakat Barat yang terlalu bebas sehingga hilang nilai moral dalam kehidupan.
Katanya, kumpulan terbabit amat terpengaruh dengan pemikiran liberal Barat dan bernostalgia kepada zaman penjajahan yang meminggirkan agama serta budaya tempatan.
“Sepatutnya mereka memanfaatkan kesempatan yang ada setelah bersara untuk mendalami pengetahuan agama dan beribadat demi persediaan serta bekalan di akhirat kelak," katanya.
Bantahan turut disuarakan pemimpin kerajaan negeri. Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan mengikut undang-undang syariah - termasuk hukuman khalwat - mencukupi untuk membendung masalah sosial dalam kalangan umat Islam.
Katanya, mana-mana pihak yang mahu meminda atau memansuhkan undang-undang syariah perlu mengemukakan hujah konkrit mengenai perkara itu.
"Saya tidak tahu apa tujuan mereka (pihak yang mahu meminda dan mansuhkan undang-undang syariah) sarankan begitu. Peruntukan yang sedia ada telah cukup tangani masalah sosial khususnya umat Islam.
"Namun, jika ada permintaan untuk menyemak semula undang-undang syariah itu, kita kena lihat apa hujah daripada pihak yang mahu perkara itu dilakukan," katanya.
