malaysiakini logo
story-image
ADS

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak mempunyai tujuan politik atau untuk memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri.

Sebaliknya, beliau berkata rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Disember itu bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan dari segi menjaga keselamatan rakyat negara ini secara keseluruhan.

"Ketidakpuasan hati beberapa individu dan NGO (berhubung perkara itu) harus dilihat namun pihak berkenaan harus juga membaca apa yang tersirat daripada akta itu, di mana kuasa tidak diberikan sepenuhnya kepada perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri pertahanan atau menteri dalam negeri, atau menteri komunikasi dan multimedia, atau beberapa menteri yang berkaitan dengan soal keselamatan.

"Sebaliknya kuasa diberikan kepada majlis, iaitu sebuah badan yang tidak menyalahgunakan kuasa. Ertinya kuasa eksekutif sepenuhnya tidak ada pada PM tetapi pada badan ini, pada lembaga ini, sebagaimana yang pernah dilakukan kepada Poca dan Pota, iaitu undang-undang pencegahan jenayah dan undang-undang pencegahan keganasaan, ini mesti difahami," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ Parlimen Bagan Datoh dan Pelancaran Jom JPJ Bersama Mu di pekarangan Wisma Umno di Hutan Melintang, Perak, hari ini.

Timbalan perdana menteri berharap pihak yang sentiasa berpandangan negatif melihat akta itu digubal berdasarkan apa yang berlaku kepada Esscom apabila kuasa yang ada pada polis bagi penangkapan tidak ada pada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Esscom, atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, ditubuhkan pada 1 April 2013 susulan insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah dengan diberi tanggungjawab menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan seperti Polis Diraja Malaysia, ATM serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Lihat contoh Esscom

Zahid berkata dengan adanya MKN, ia memberi kuasa untuk menjaga keselamatan bagi kepentingan rakyat keseluruhannya.

"Cukuplah, berikan kerjasama supaya ia tidak dikelirukan, supaya undang-undang yang dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat itu dapat diterima sebagai satu hakikat . Ia tidak ada tujuan politik tetapi adalah untuk memperkukuhkan penguatkuasaan daripada segi menjaga keselamatan rakyat," katanya.

Beliau turut diminta mengulas saranan seorang pakar perlembagaan agar akta itu memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Daripada segi darurat, pengumuman, pengisytiharan dan pewartaan adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong, untuk perintah berkurung pula itu adalah kuasa menteri dalam negeri dan tidak timbul ambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Zahid berkata sebagai contoh, apabila Esscom diwujudkan, ia dibuat secara pentadbiran dan bukan secara perundangan menyebabkan penguatkuasaan sukar dilaksana agensi berkaitan.

"Maka apabila akta MKN digubal, ia adalah untuk memberikan kuasa kepada badan, bukan sahaja Esscom, yang diwujudkan bagi menjaga wilayah tertentu, yang membabitkan bukan hanya kepada Polis Diraja Malaysia tetapi juga jabatan dan agensi penguatkuasaan yang lain untuk melakukan penguatkuasaan bersama.

"Sebab itu, kuasa dalam akta MKN ini adalah untuk memberikan kuasa pelaksanaan perundangan supaya apabila kes ini dibawa ke mahkamah tidak dicabar peguam, kononnya hak asasi manusia, yang akhirnya daripada segi teknikal, boleh menyebabkan kes itu dibuang," katanya.

- Bernama

Lihat Komen