Dalang di sebalik tindakan 34 cawangan Umno seluruh negara yang merancang mengadakan perhimpunan besar-besar bulan depan bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan kini dapat dikenalpasti.
Bercakap kepada pemberita hari ini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi berkata sebagai pemimpin tertinggi parti beliau dapat 'mencium bau' dalang terbabit.
"Saya dapat merasakan bahawa ada dalang yang telah menggunakan 34 ketua cawangan ini, bukan satu tuduhan tetapi sebagai salah seorang naib presiden Umno 'mencium bau' dalang-dalang yang mencampuri soal ini (desak Najib letak jawatan) untuk melakukan desakan," katanya selepas menghadiri forum peringkat tinggi Malaysia-China hari ini.
Bagaimanapun, timbalan perdana menteri itu menegaskan desakan dan tindakan tersebut tidak menggugatkan kedudukan Najib kerana jumlah itu tidak mewakili 21,000 cawangan Umno di seluruh negara.
"Perlu kita ketahui 21,000 cawangan Umno seluruh negara, bukan mahu perkecilkan tindakan yang dilakukan oleh mereka," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan dalang yang merancang di sebalik desakan itu supaya berhenti mempengaruhi cawangan Umno yang lain sebaliknya bertindak mengunakan cara yang betul untuk membuat kritikan.
"Saya fikir dalang berkenaan sama ada dalang yang nampak atau tidak nampak mengikuti peraturan dan perundangan yang sedia ada.
"Saya tidak berhasrat untuk menghentak hati mana-mana pihak terapi Umno hidup dan terua releven. Perkara ini harus dihormati oleh semua ahli dan kepimpinan Umno.
Pada Sabtu lalu, sebanyak 34 cawangan Umno dari Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak dan Sabah mendesak Najib melepaskan jawatan sebagai presiden Umno selepas mereka mengadakan pertemuan.
Ketua cawangan Umno Taman PD Utama, Mohd Isa Mohd Yasin mereka sebulat suara mendesak presiden Umno berbuat demikian kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kredibiliti beliau memimpin Umno.
Beliau turut mendakwa pihaknya mendapat sokongan hampir 5,000 ketua cawangan lain di seluruh negara dan bercadang mengadakan himpunan besar-besaran bulan depan.
Pada bulan lalu, seramai 13 ketua cawangan Umno sekitar kawasan Telok Kemang turut mendesak Najib berbuat demikian manakala Rabu lalu pula sekumpulan pemimpin akar umbi Umno yang mendakwa mewakili 20 cawangan Umno di Sepang turut menggesa perkara yang sama.