malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Nilailah Yapeim secara adil'
Diterbitkan:  Nov 13, 2015 5:19 PM
Dikemaskini: 9:31 AM
ADS

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menuntut semua pihak berlaku adil ketika menilai isu melibatkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi ruang menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada agensi berkenaan.

“Dakwaan-dakwaan salah laku, termasuk pembayaran elaun yang tinggi kepada pihak pimpinan tertinggi Yapeim dan kewujudan nepotisme perlu diberikan perhatian serius oleh pihak pengurusan.

“Saya amat mengalu-alukan siasatan menyeluruh SPRM yang telah dan sedang berjalan agar dapat menjernihkan kembali reputasi Yapeim selaku institusi berlabel Islam yang berorientasikan kebajikan dan penjanaan ekonomi,” kata beliau dilaporkan Sinar Harian .

Semalam, Ketua Pengarah Yapeim Datuk Abibullah Samsudin menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa sekiranya ada salah laku berkenaan dengan pentadbiran, pengurusan dan operasinya.

Ia ekoran dakwaan Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) yang memberitahu pengurusan tertinggi yayasan itu meraih pendapatan hampir RM2 juta setahun.

Perkenal ar-Rahnu

NOW hari ini turut mendedahkan pihak pengurusan sama mengunjungi AS dengan perbelanjaan RM410,978 dan kos itu didakwa dibayar Yapeim.

Pengarah NOW Akmal Nasir berkata pembayaran dibuat melalui dana sebuah anak syarikat yang sepatutnya digunakan untuk membantu anak yatim dan kanak-kanak miskin.

Sementara itu, Asyraf berkata sekiranya terdapat unsur-unsur penyelewengan atau pecah amanah, tindakan serius perlu diambil.

“Sebaliknya jika ia melibatkan isu kelemahan polisi, prosedur dan urus tadbir, maka penambahbaikan harus dilakukan dengan segera.

"Anologinya ialah seperti atap bocor, maka yang perlu dibaiki ialah atapnya bukan rumah yang harus diruntuhkan.

“Justeru tidak perlulah melakukan pelbagai spekulasi dan andaian kerana bimbang kita terjebak dalam fitnah dan tohmahan yang bukan sahaja memudaratkan diri sendiri dengan dosa jariah berterusan tetapi juga menghancurkan institusi agama yang terbukti berjaya memperkenalkan skim Ar-Rahnu kepada dunia sejak 1993,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen