malaysiakini logo
story-image
ADS

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan dibahaskan di Dewan Rakyat.

Menurutnya perancangan kerajaan, katanya, perjanjian itu dicadangkan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat pada akhir Januari atau awal Februari tahun depan, bergantung kepada persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Katanya, jika berdasarkan perjanjian antarabangsa, umumnya TPPA hanya memerlukan keputusan persetujuan eksekutif untuk membolehkan ia dilaksanakan.

"Bagaimanapun TPPA ini menjadi perhatian di Amerika, Jepun, bukan sahaja di Malaysia, ia banyak mencetuskan kontroversi, ia mejadi perkara cukup besar untuk kerajaan, maka ia akan dibentangkan, dibahas dan dibuat keputusan.

"Ia bukan dibentang untuk seronok-seronok... Ia akan dibahaskan oleh MP dan akan dibuat keputusan," katanya bagi menjawab pertanyaan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) mengenai sama ada perjanjian itu akan dibahaskan dan dibuat keputusan atau sebaliknya .

Menggulung Bajet 2016 bagi kementeriannya, beliau juga berkata teks perjanjian penuh bakal didedahkan kepada umum dalam tempoh 24 jam melalui portal kementerian dan beliau dijangka membuat kenyataan mengenai perkara itu petang ini.

"Perjanjian ini mempunyai 30 bab, beberapa ratus muka surat termasuk lampiran, jadual (dan sebagainya)," katanya.

Dalam kesempatan itu juga, Mohamad menepis tanggapan dan kebimbangan bahawa perjanjian adalah "penjajahan bentuk baru" dan memberi mudarat kepada negara seperti yang dibangkitkan oleh beberapa anggota Parlimen.

Cucuk hidung

Menurutnya, perkara itu tidak benar memandangkan dasar kerajaan, tahap pendidikan rakyat Malaysia dan kejayaan yang ditempa oleh syarikat-syarikat pelaburan besar di luar negara sekranga ini berbanding situasi negara sebelum ini yang dijajah.

"(Tapi) Kita harus ada keyakinan, syarikat kita boleh, indivdu Malaysia boleh. Dasar kerajan dan tahap pendidikan kita sudah berjaya. Ketakutan dan kebimbangan bahawa negara akan dijajah semula, diambil perhatian.

"Kita bukan 100 tahun lalu , sekarang orang Malaysia, syarikat Malaysia (di luar negara) ada yang hebat. Kalau kata kita dicucuk hidung, secara logiknya Amerika, Jepun juga dicucuk hidung. Kalau kita panjangkan alasan yang sama," katanya.

Mengakhiri penggulungannya, Mustapha (BN-Jeli) berharap semua anggota parlimen bersikap adil terhadap perjanjian tersebut yang memberi banyak faedah kepada negara.

"Saya menyeru kita berlaku adil. Dalam apa-apa tindakan dan dasar ada untung ada rugi.

"Kalau kita tengok dari keseluruhannya, pada pandangan kerajaan, sebagai negara yang mengamalkan dasar perdagangan bebas, menarik pelaburan dan pelaburan asing, kita juga melabur di luar negara, kita rasa penting untuk Malaysia menyertainya.

"Kalau tidak, syarikat kita kurang daya saing, Malaysia tidak menjadi tumpuan pelabur luar dan dalam negara. Orang kita pun nak lari, tak mahu berniaga dalam negara, bukan sahaja kita tak boleh tarik orang luar berniaga dalam negara kita.

"Kerajaan mendapat banyak manfaat, daripada dasar kerterbukaan kita, kita ada teruskan dasar ini," katanya.

Lihat Komen