malaysiakini logo
story-image
ADS

Sebanyak RM51 juta rebat tol Plusmiles tidak dituntut oleh pengguna lebuh raya Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ( gambar ) berkata hanya RM21 juta daripada RM72 juta jumlah keseluruhan rebat, yang dituntut oleh pengguna.

RM72 juta rebat itu terkumpul sejak ia diperkenalkan pada 2009 hingga 30 September 2015.

"Tuntutan itu sah dalam tempoh 12 bulan. Sehubungan itu rebat yang yang tidak dituntut dari selepas tarikh tersebut dianggap terbatal," katanya.

Rosnah (BN-Papar) menjawab soalan Dr Mansor Abdul Rahman (BN-Sik) berhubung jumlah rebat yang dituntut dan tidak dituntut.

Beliau juga mahu tahu sama ada kerajaan bercadang memasukkan rebat itu secara automatik kepada kad prabayar Plusmiles dan Touch n Go.

Menjawab soalan, Rosnah berkata buat masa ini kerajaan tidak dapat melaksanakan pemberian rebat terus secara automatik kepada pengguna selepas mengambil kira kekangan sistem sedia ada.

Katanya, pengguna yang mendaftar sama ada di kaunter khidmat pelanggan sewaktu membeli kad atau melalui atas talian, layak mendapat rebat tersebut.

"Plusmiles dan Touch n Go terbuka dengan cadangan untuk penambahbaikan kepada servis yang diberikan. Plus akan terus mengkaji mekanisme pemberian rebat terbaik,” katanya.

Menurut Rosnah, pengguna perlu ke kaunter pembelian untuk proses penentuan, sebelum rebat itu dikredit di kad masing-masing.

Lihat Komen