malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB: S'gor bimbang kelab golf jadi taman rekreasi
ADS

Menteri Besar Selangor Azmin Ali membangkitkan kebimbangan kerajaan negeri berhubung cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengubah Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebagai taman rekreasi dalam bandar.

Bercakap di Dewan Rakyat petang ini, Azmin (PKR-Gombak) berkata pihaknya bimbang jika cadangan itu direalisasikan, identiti Selangor dan sejarah kelab yang dibina pada 1893 akan hilang.

"Sudah tentu ini menjadi kebimbangan kerajaan negeri Selangor," kata Azmin yang juga timbalan presiden PKR.

"Kebimbangan kita sekali lagi, adalah nilai warisan dan sejarah negeri Selangor akan hilang dan terlepas tangan kepada kroni Umno BN melalui projek komersial," katanya.

Azmin turut bimbang jika kelab itu dibangunkan akan mengulangi masalah kesesakan lalulintas dan rakyat tidak dapat memiliki hartanah di kawasan itu, sepertimana pembinaan Menara Berkembar Petronas KLCC.

Dilaporkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ada menerima cadangan supaya mengubah kelab itu menjadi taman rekreasi dalam bandar.

Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata perkara itu perlu diteliti dan dibincangkan dengan pihak berkaitan termasuk pemilik kelab golf itu.

Katanya, kawasan itu juga boleh dibangunkan dengan pusat budaya untuk aktiviti keluarga. Kelab golf itu antara kelab golf tertua di Asia.

Lihat Komen