malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN Buat pertama kali di dalam sejarah industri teksi negara, hampir seluruh warga teksi menjadi marah kepada kerajaan. Segalanya berpunca di atas kegagalan SPAD mengurus tadbir sistem pengangkutan awam teksi dengan baik.

Kami kecewa kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyifatkan kenderaan yang terlibat dengan Uber dan MyTeksi (Grabcar) sebagai teksi yang tidak berdaftar dan tidak berlesen dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad).

Shahid menyatakan demikian ketika mengulas isu teksi di Dewan Rakyat. Saya percaya bahawa beliau keliru dengan teksi dan kereta sapu.

Mengulas isu teksi di Dewan Rakyat, dalam ulasan beliau, beliau menamakan kenderaan yang terlibat dengan Uber dan MyTeksi (Grabcar) sebagai “TEKSI” yang tidak berdaftar dan tidak berlesen dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Beliau turut menjelaskan dasar Kerajaan, bahawa tempahan teksi melalui aplikasi adalah dibenarkan selagi mereka menggunakan kenderaan yang mempunyai lesen pengendali dan aktiviti tersebut tidak melanggar undang-undang negara.

ADS

Namun apa yang belaku hari ini, penyedia aplikasi Uber dan MyTeksi (Grabcar) telah melanggar undang-undang Negara, apabila aplikasi tersebut disediakan atau digunakan kepada kenderaan yang tidak berlesen, dan perkara ini jelas telah melakukan kesalahan.

Seterusnya Kementerian Pengangkutan melalui menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan bahawa kerajaan mahu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyelesaikan masalah terhadap “teksi bebas”.

“SPAD harus mengkaji kaedah terbaik bagi mengawal selia operasi teksi bebas bagimewujudkan situasi menang-menang,” katanya seperti dilaporkan media.

Saya percaya beliau keliru di antara teksi bebas, teksi dan kereta sapu.

CEO SPAD pula, Mohd Azharuddin Mat Shah menyebut mengenai teksi bebas dan aduan mengenai pemandu teksi yang enggan menggunakan meter.

“Antara aduan kerap daripada pengguna memilih 'teksi bebas' adalah kerana pemandu teksi tidak menggunakan meter, penggunaan kenderaan lama, busuk serta sikap kasar berbanding pemandu Uber, jadi ini juga perlu diberi perhatian,” katanya.

Sebenarnya saya boleh terima jika Shahidan Kassim dan Liow Tiong Lai terkeliru diantara teksi dan kereta sapu, kerana mereka tidak berada didalam industri teksi negara.

Tetapi bila seorang yang berpangkat besar di dalam SPAD tidak mampu membezakan teksi dan kereta sapu, saya rasa kerajaan harus sedar rintihan warga teksi dan merombak SPAD.

Berhubung kenyataan yang dibuat Mohd Azharuddin Mat Shah bahawa pemandu teksi tidak menggunakan meter, penggunaan kenderaan lama, busuk serta sikap kasar. Saya percaya itu adalah masalah dalaman yang seharusnya SPAD selesaikan secara bijaksana, dan bukannya menghalalkan aktiviti kereta sapu.

Saya pernah menyuarakan cadangan kepada Syed Hamid Albar bagi menyelesaikan masalah pemandu teksi secara profesional.

Saya mencadangkan agar SPAD mewujudkan Pelan Migrasi Lesen Pengendali. Pelan ini kelak akan memberi peluang kepada seluruh pemandu teksi memiliki permit teksi individu setelah mereka tamat perjanjian sewa beli, secara tidak langsung pelan ini akan membebaskan pemandu teksi dari penjajahan syarikat.

ADS

Masalah tidak menggunakan meter dan sikap kasar pemandu teksi adalah masalah sikap dari segelintir pemandu teksi. Masalah ini memerlukan kepakaran SPAD untuk mendisplinkan pemandu teksi tersebut, atau menyingkir mereka dari industri teksi negara dan bukannya menghalalkan kereta sapu.

Masalah berkenaan kenderaan lama dan kenderaan berbau busuk, ia adalah berpunca dari tekanan hidup yang terpaksa pemandu teksi hadapi setelah pihak syarikat memerah kudrat mereka.

Sebagai contoh, pemandu teksi terpaksa membayar sewa kepada syarikat lebih RM1,500 setiap bulan selama lima tahun bagi kenderaan Proton Waja, sedangkan dengan kadar RM1,500 itu pemandu teksi mampu membiayai kenderaan yang lebih mewah.

Seharusnya SPAD dikendalikan oleh individu yang mempunyai pengalaman, dan pengetahuan di dalam industri teksi negara.

Selain itu mereka harus mempunyai wawasan dan keazaman untuk menyahut seruan kerajaan menaiktaraf mutu perkhidmatan teksi agar kebajikan dan ekonomi pemandu teksi terjamin.

Seterusnya pemandu teksi mampu memberi perkhidmatan yang memuaskan, dan tidak memarahi Kerajaan.

Namun apa yang belaku sejak penubuhan SPAD, pemandu teksi terus dipersalahkan, lebih memburukkan keadaan apabila SPAD yang telah diamanahkan kerajaan bersikap lepas tangan.


KAMARUDIN MOHD HUSSAIN timbalan pengerusi merangkap setiausaha Persatuan Transformasi Malaysia (PERS1M).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen