Umno Pagoh menyifatkan usaha untuk menggulingkan timbalan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa didalangi 140 ketua Umno bahagian sebagai tindakan yang tidak wajar dan tidak boleh diterima.
Ketua Pemuda Umno Pagoh Mohd Zaid Abd Rahman berkata, sekiranya benar komplot itu wujud ia adalah satu penghinaan ahli akar umbi yang telah memilih bekas timbalan perdana menteri itu.
Beliau juga dipetik akhbar Sinar Harian sebagai berkata usaha itu memberikan kesan yang tidak baik kepada parti.
“Menyingkirkan Muhyiddin akan menghakis kepercayaan ahli terutama golongan muda terhadap Umno itu sendiri.
“(Ini) kerana beliau amat dikenali sebagai pemimpin banyak berjasa dan menjadi aspirasi kepada golongan muda yang berani menyatakan kebenaran,” katanya yang dipetik akhbar itu.
Menurut Mohd Zaid, Muhyiddin dikenali sebagai pemimpin ultra Melayu yang konsisten dan melihat Umno tidak boleh hilang sokongan dan kepercayaan kepada orang muda bagi memenangi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14).
“Sedarlah semua krisis kepimpinan dan kepercayaan dalam Umno sekarang ini sepatutnya tidak berlaku melainkan komplot itu sudah tentu ditaja secara terancang oleh orang tertentu bagi meraih laba politik dan keuntungan besar.
“Teori domino menyaksikan parti-parti lain telah mengalaminya dan Umno serangan terakhir mereka untuk melaga-lagakan orang Umno, memburukkan keadaan seterusnya melemahkan parti,” katanya lagi dipetik oleh Sinar Harian .
Mohd Zaid berkata, sekiranya ada komplot ‘telegram’ itu sebagaimana dikhabarkan, beliau memohon agar ia dihentikan.