malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid: Tiada protes tuntut PM letak jawatan sejak 1998
Diterbitkan:  Oct 29, 2015 11:20 AM
Dikemaskini: 3:25 AM
ADS

PARLIMEN Tiada sebarang bantahan atau perhimpunan yang diadakan dalam negara sejak dua dekad lalu yang menuntut secara khusus perdana menteri meletak jawatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Mengikut rekod polis, tidak ada demonstrasi-demonstrasi yang diadakan dalam negara ini sejak tahun 1998 yang menuntut secara khusus perdana menteri meletakkan jawatan," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) yang ingin tahu jumlah demonstrasi yang menuntut perdana menteri meletakkan jawatan sejak 1998.

Beliau juga meminta menteri bagi menyatakan jumlah kehadiran peserta, jumlah kerahan polis FRU, polis biasa, polis cawangan khas, kos operasi polis dan lokasi setiap demonstrasi berkenaan.

Zahid bagaimanpun tidak menjawap soalan yang dikemukakan itu.

Gerakan Reformasi tercetus pada tahun 1998 berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri, ketika itu.

Dalam protes bagi menuntut keadilan terhadap Anwar, peserta juga mendesak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu untuk meletakkan jawatan.

Pada tahun ini pula, beberapa siri bantahan juga diadakan bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya meletakkan jawatan.

Ini termasuk perhimpunan #TangkapNajib pada 1 Ogos yang mendakwa perdana menteri terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Perhimpunan BERSIH 4 dan bantahan #KitaLawan antara lain juga menuntut supaya Najib berundur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen