malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemandu teksi kena muhasabah diri, kata Syed Hamid
ADS

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar menasihatkan kepada segelintir pemandu teksi yang tidak berpuas hati dengan kewujudan teksi Uber dan Grabcar supaya "muhasabah" diri.

Beliau berkata, segelintir pemandu teksi sepatutnya bertanya pada diri sendiri mengapa orang ramai memilih untuk menaiki "kereta persendirian" yang ditawarkan Uber dan Grabcar berbanding teksi.

"Daripada menyalahkan semua orang, mereka (pemandu teksi) patut tanya soalan mengapa orang memilih kereta persendirian ini.

"Banyak kejadian dilaporkan mengenai perangai dan sikap pemandu teksi. Saya tak fikir ia golongan terbesar tetapi golongan yang kasar dengan pelanggan ini, walaupun sikit tetapi diingati. Mungkin tak ramai tetapi golongan ini yang orang ingat.

"Saya rasa mereka mesti berubah sikap. Kena tanya soalan, muhasabah, mengapa orang ambil kereta persendirian itu," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Selain itu, beliau menjelaskan, SPAD tidak boleh mengambil tindakan terhadap Uber dan Grabcar memandangkan ia sebuah aplikasi dan di luar bidang SPAD.

Bagaimanapun, katanya, pihak yang boleh mengambil tindakan terhadap aplikasi Uber atau Grabcar ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Malah, selain SPAD, pihak berkuasa lain yang boleh mengambil tindakan terhadap kereta persendirian pula ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, pihaknya juga telah mengambil tindakan terhadap lebih 100 pemandu "kereta persendirian".

"Kereta persendirian ini, untuk tahu sama ada mereka jadi teksi atau tidak, sangat sukar. Dia macam "teksi sapu", tak ada tanda. Tapi kita dah tangkap dan sita lebih 100 teksi persendirian ini.

"Macam Uber semua ini, mereka aplikasi, ia di bawah SKMM. Kalau SKMM ambil tindakan pun, mereka boleh guna server dari luar negara.

"Jadi, sepatutnya, bukan ambil tindakan terhadap Uber tetapi kereta yang digunakan tanpa lesen. Nak kesan susah. Sebenarnya pihak berkuasa yang boleh ambil tindakan juga ialah JPJ.

"Kenapa nak fokus pada kita sahaja? Kita tak boleh politikkan benda ini," katanya yang tidak bersetuju dengan segelintir pihak yang memanggil orang politik berhubung isu ini.

Selain itu, Syed Hamid berkata lagi, walaupun terdapat pihak yang mencadangkan supaya memberi lesen kepada "kereta persendirian" ini, namun ia tidak boleh dilaksanakan kerana ia akan membunuh industri teksi.

"Ada yang mempersoalkan kenapa tidak beri lesen kepada kereta persendirian ini supaya menjadi teksi. Kalau buat macam itu, habis industri teksi yang ada sekarang. Mati semua," katanya.

Selain itu, mengulas mengenai Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) yang akan mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan rasa tidak puas hati pemandu teksi terhadap SPAD dan menggesa suruhanjaya itu diberi wajah baru, Syed Hamid berkata beliau tidak ada masalah sekiranya pihak persatuan itu ingin mengambil alih tempatnya.

"Lepas itu, suruh saya berhenti, kata saya ketua tak boleh buat kerja. Mereka nak ambil tempat saya, saya tak ada masalah. Mereka boleh ambil. Cubalah uruskan semua teksi-teksi ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai PERS1M, bekas ahli parlimen Kota Tinggi itu berkata, beliau mendapati kumpulan itu hanyalah suara dari pihak "kecil" jika dibandingkan dengan jumlah pemandu teksi yang ada di negara ini.

Beliau juga berkata tidak mengetahui mengenai kewujudan persatuan tersebut dan mempersoalkan sama ada ia sebuah persatuan yang berdaftar.

"Kumpulan ini tidak seberapa. Ini kumpulan yang saya sendiri tidak tahu besar mana kumpulan ini dan sama ada mereka berdaftar atau tidak.

"Kebanyakkan pemandu teksi sangat bagus, mereka bagus buat kerja. Tapi mereka tak bersuara. Golongan yang bersuara ini kalau ambil secara keseluruhan dalam 6,000. Kita ada lebih daripada 100,000 pemandu teksi. Tapi golongan majoriti tidak bersuara," ujarnya lagi.

Lihat Komen