malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Palanivel rayu arahan ROS
Diterbitkan:  Oct 21, 2015 4:32 PM
Dikemaskini: 8:36 AM
ADS

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel dan dua yang lain bagi kebenaran merayu terhadap arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar parti itu mengadakan pemilihan semula selepas memutuskan perkara itu bersifat akademik.

Keputusan berhubung arahan ROS itu dikekalkan dan Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh memberitahu pemberita bahawa Datuk Seri S Subramaniam diperakui sebagai Presiden MIC yang sah.

"Keputusan hari ini akan menamatkan sebarang kesangsian berhubung kedudukan Subramaniam sebagai Presiden MIC," katanya.

Dalam prosiding itu, Hakim Tan Sri Richard Malanjum, yang mempengerusikan panel tiga hakim, turut memerintahkan ketiga-tiga mereka membayar RM10,000 kepada setiap responden.

Responden ialah ROS, Menteri Dalam Negeri, Senator S Vigneswaran dan Naib Presiden MIC M Saravanan.

Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Panel itu membuat keputusan sebulat suara selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Dalam hujahannya, Datuk Sri Gopal Sri Ram, yang mewakili Saravanan berkata isu itu kini bersifat akademik.

Sementara Amarjeet, mewakili semua responden berkata ROS mengeluarkan arahan itu mengikut Seksyen 3A yang hanya berkaitan dengan bagaimana pemilihan semula patut dijalankan dan untuk memastikan hanya cawangan yang sah dan layak mengambil bahagian dalam pemilihan itu.

Pada 13 Julai, Mahkamah Rayuan menolak rayuan dikemukakan Palanivel, bekas naib presiden MIC S Sothinathan dan Datuk S Balakrishnan serta bekas Setiausaha Agung MIC A Prakash Rao.

Keempat-empat mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Jun yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka untuk membatalkan arahan ROS.

Pada 5 Disember tahun lepas, ROS mengeluarkan notis rasmi kepada MIC bahawa pemilihannya bagi kerusi naib presiden dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) serta pemilihan beberapa bahagian adalah batal dan tidak sah berikutan wujud kepincangan tertentu dan mengarahkan parti mengadakan pemilihan baharu bagi kerusi berkenaan dalam tempoh 90 hari.

- Bernama

Lihat Komen