malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Vell Paari tarik diri tanding naib presiden MIC
Diterbitkan:  Oct 20, 2015 6:34 AM
Dikemaskini: 10:37 PM
ADS

Perebutan bagi jawatan naib presiden MIC menyaksikan perubahan apabila Pengerusi MIC Bahagian Kepong Datuk Seri S Vell Paari sekali lagi menarik diri daripada pertandingan itu.

Sebaliknya, anak lelaki bekas presiden parti itu berkata beliau akan bertanding bagi jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam pemilihan parti yang dijadualkan pada 6 November.

Dalam kenyataan semalam, Vell Paari berkata beliau membuat keputusan itu selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti dan menyifatkan bukan mudah untuk mengambil keputusan itu.

"Saya telah turun padang ke seluruh negara untuk berkempen sebagai calon bagi naib presiden. Majoritinya berkata selain khidmat saya, memilih saya merupakan cara mereka untuk membalas pengorbanan bapa saya terhadap MIC.

"Tetapi demi kesepaduan dan perpaduan parti, keperluan diri saya tidak mengatasi keperluan MIC dan masyarakat. Dengan itu saya menawarkan diri sebagai calon CWC," katanya.

Vell Paari menawarkan diri untuk bertanding jawatan sama pada pemilihan parti pada 2009 dan 2013 tetapi kemudiannya menarik diri atas pelbagai isu yangmembelenggu dirinya.

Beliau berjanji untuk tidak mengulangi tindakan itu pada kali ini semasa mengumumkan hasrat bertanding jawatan naib presiden, kira-kira dua minggu lepas.

Bagi jawatan naib presiden, kini ia menjadi rebutan empat pemimpin - dua bekas Ketua Pemuda Datuk T. Mohan dan Datuk S.A Vigneswaran, anak bekas Timbalan Presiden MIC Tan Sri S.Subramaniam, S. Sunther dan Ketua Penerangan MIC pusat Datuk V.S. Mogan.

Kira-kira 1,500 perwakilan akan mengundi tiga naib presiden dan 23 anggota CWC pada pemilihan parti dijadual pada 6 Nov di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

- Bernama

Lihat Komen