malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Devamany tetap tanding jawatan timbalan presiden MIC
Diterbitkan:  Oct 18, 2015 9:00 PM
Dikemaskini: 1:11 PM
ADS

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri SK Devamany tetap dengan pendirian untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden MIC walaupun telah didesak agar menarik diri daripada merebut jawatan itu pada pemilihan semula parti itu, 6 Nov ini.

Bekas naib presiden itu berkata beliau tidak akan menarik balik keputusannya kerana sudah tiba giliran untuk beliau menjawat jawatan nombor dua parti.

"Mengikut hirarki Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 2009, selepas presiden Datuk Seri Dr S Subramaniam, saya adalah pemimpin nombor dua...sebab itu saya membuat keputusan untuk bertanding jawatan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC yang dirasmikan serentak oleh Dr Subramaniam di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam perebutan tiga jawatan naib presiden pada pemilihan MIC 2009, Dr Subramaniam memperoleh undi terbanyak iaitu 1,260 undi diikuti Devamany (1,122 undi) dan Datuk M Saravanan dengan 1,030 undi.

Pada pemilihan 2013, Devamany hanya memperoleh 332 undi untuk menghuni tangga ketujuh daripada lapan calon naib presiden dengan Saravanan mengumpul undi kedua terbanyak iaitu 716 undi.

Bagaimanapun, Pendaftar Pertubuhan (RoS) membatalkan pemilihan 2013 kerana mendapati wujud penyelewengan dalam proses pemilihan dan melantik CWC 2009 untuk mengendalikan pemilihan semula bulan depan.

Biarpun didesak segelintir ahli parti untuk Devamany berundur bagi memberi laluan kepada Saravanan namun katanya beliau akan tetap menghantar borang pencalonan pada hari penamaan calon pada 25 Okt ini.

Setakat ini, Devamany dan Saravanan, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, telah menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

Selain jawatan timbalan presiden, pemilihan kali ini turut menyaksikan pemilihan tiga naib presiden dan 23 ahli CWC.

Pemilihan parti akan diadakan pada 6 Nov dan Mesyuarat Agung Tahunan MIC pada hari berikutnya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang.

-Bernama

Lihat Komen