malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kamalanathan tak tanding naib presiden MIC
ADS

Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan hari ini mengesahkan beliau hanya akan mempertahankan jawatan Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC pada pemilihan parti itu 6 November ini.

Kamalanathan berkata, beliau tidak akan bertanding jawatan naib presiden parti walaupun mendapat sokongan ahli untuk berbuat demikian.

"Keputusan ini dibuat untuk kepentingan parti. Parti lebih memerlukan pemimpin berkesinambungan demi mengekalkan kesatuan dan solidariti MIC, jadi saya rasa lebih sesuai saya mengekalkan jawatan ini (CWC)," katanya pada sidang media bagi mengumumkan keputusannya itu di Kuala Lumpur.

Kamalanathan berkata, dengan mengekalkan jawatan sedia ada, beliau mempunyai banyak peluang bersama akar umbi untuk membantu menguatkan parti.

"Ia keputusan yang sukar, saya meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi. Saya minta maaf kepada yang mahu melihat saya bertanding jawatan lebih tinggi dalam parti," katanya.

Sebelum ini, Kamalanathan mengumumkan untuk tidak bertanding jawatan timbalan presiden parti bagi memberi laluan kepada Naib Presiden, Datuk M Saravanan yang dirasakan calon sesuai bagi jawatan nombor dua dalam MIC.

Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, telah mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan presiden.

Majlis Tertinggi MIC menetapkan 25 Oktober ini, sebagai hari penamaan calon manakala pemilihan semula parti pada 6 November, diikuti Mesyuarat Agung Tahunan pada hari berikutnya, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang.

Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengarahkan MIC mengadakan semula pemilihan selepas membatalkan pemilihan parti itu pada November 2013, selepas menerima aduan mengenai penyelewengan dalam proses pemilihan.

- Bernama

Lihat Komen