malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: Saya tak pernah sekat Ku Li lawan saya
Diterbitkan:  Oct 7, 2015 5:20 PM
Dikemaskini: 10:42 AM
ADS

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengecam apa yang didakwanya sebagai percubaan dalaman Umno untuk menyekatkan beliau berucap menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Dr Mahathir berkata sewaktumenjadi presiden Umno, beliau tidak pernah menyekat Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Musa Hitam berkempen menentangnya sewaktu berlaku krisis kepimpinan Umno 1980-an.

"Tujuan mereka apabila mereka bertanding melawan saya dan Ghaffar ialah supaya saya tidak jadi presiden lagi dan tidak jadi perdana menteri. Mereka berhajat menjatuhkan saya.

"Saya tidak larang mereka berkempen di kalangan ahli-ahli Umno dan ahli-ahli Umno tidak dilarang oleh saya menghadiri kempen mereka.

"Bahagian-bahagian Umno menjemput mereka untuk merasmikan mesyuarat bahagian dan mereka berkempen semasa perasmian dan di masa-masa lain," katanya dalam blognya hari ini.

Tidak seperti hari ini, Dr Mahathir berkata terdapat ahli Umno yang didakwanya tidak dapat hadir mendengar beliau berucap di Tawau pada 5 Oktober "kerana dianjur oleh bukan Umno".

"Kata mereka SUA (Setiausaha Agung) Umno amat marah jika ada ahli atau pemimpin yang hadir diperhimpunan ini," tulis bekas presiden Umno itu dalam blognya hari ini.

Beliau mendakwa ahli diberikan ugutan - untuk dikenakan tindakan termasuk disiasat dan dibuang parti - walaupun tiada arahan secara rasmi untuk mencabar jawatan presiden.

"Masa depan dalam parti akan menjadi gelap. Tidak boleh jadi pemimpin lagi; tidak akan dijadikan calon lagi," katanya.

Mahathir berkata beliau menerima undangan berucap di Tawau dalam majlis yang dianjurkan oleh "musuh Umno" kerana beliau tahu tidak akan mendapat jemputan itu daripada Umno.

Teguran dianggap sabotaj

Menurut akhbar Sabah, Daily Express, majlis tersebut dianjurkan oleh KIJ Resources.

"Saya ini, walaupun masih ahli Umno dan biasa menjadi presiden Umno, dianggap oleh kepimpinan Umno sekarang sebagai musuh parti yang saya pimpin selama 22 tahun," katanya.

Beliau turut kesal bahawa sesiapa yang menegur presiden akan dituduh cuba sabotaj, cuba menggugat demokrasi, cuba menjatuhkan presiden yang dipilih secara demokratik dan seterusnya ditahan.

Sebagai contoh kes anggota Umno yang ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan dan Langkah Khas (Sosma) selepas membuat laporan polis berhubung 1MDB dengan agensi penguatkuasa antarabangsa.

"Peguam (Khairuddin) pun hendak ditakutkan," katanya.

Peguam Khairuddin, Matthias Chang - yang pernah menjadi setiausaha politik Dr Mahathir - turut memberi disoal siasat oleh polis.

"Semua ini menakutkan rakyat, terutama ahli Umno dan pemimpin kerdilnya. Mereka tahu ada perkara yang salah yang sedang berlaku. Tetapi mulut mereka ditutup. Telinga juga ditutup," katanya.

Dr Mahahtir berkata kerajaan mendakwa bahawa sesiapa yang mendedah kesalahan perdana menteri dianggap sebagai cuba mengguling kerajaan secara tidak demokratik.

"Sebenarnya Kerajaanlah yang dengan mengugut bertindak terhadap rakyat, melarang ahli UMNO dari mendengar syarahan politik, Kerajaan sudah tidak demokratik lagi.

"Tidak ada demokrasi untuk diruntuh oleh rakyat, kerana demokrasi sudah pun dimusnah oleh Kerajaan," kata bekas presiden Umno itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen