malaysiakini logo
story-image
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan hanya Bumiputera keturunan Cina, dan bukan semua anggota masyarakat Cina di Sabah, dibenarkan menyertai Umno.

Beliau, yang juga Presiden Umno berkata, kebanyakan mereka adalah kumpulan yang dipanggil Sino, iaitu orang Cina yang dianggap golongan Bumiputera melalui perkahwinan dengan penduduk tempatan.

Mereka memang diiktiraf sebagai Bumiputera di Sabah, tambahnya. Beliau juga berkata ahli Angkatan Keadilan Rakyat (Akar) berketurunan Cina, walau tidak dianggap Bumiputera, juga dibenarkan berbuat demikian.

"Saya minta maaf kerana memberi kenyataan (semalam) yang salah. Itu kesilapan saya," kata Dr Mahathir selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur petang tadi.

Akhbar-akhbar hari ini melaporkan Umno, sebuah parti Melayu, buat pertama kali menerima kaum Cina menyertainya bagi menampung kemasukan ahli-ahli Akar, yang dibubarkan semalam.

"Umno ialah parti untuk orang Melayu, tetapi oleh kerana pentingnya kita berkembang di Sabah, kita telah menerima Bumiputera bukan Islam sebagai ahli parti dan sekarang kita akan terima orang Cina juga dalam Umno," katanya seperti dilaporkan, selepas mengumumkan pembubaran Akar di sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Dr Mahathir juga dilaporkan berkata, perlembagaan parti itu tidak perlu dipinda kerana kelonggaran yang membenarkan kaum itu menganggotai Umno terhad kepada Sabah sahaja.

Mengenai keputusan Lembaga Disiplin menggantungkan enam pemimpin parti itu yang terlibat dengan politik wang, Dr Mahathir berkata Majlis Tertinggi menyokong sepenuhnya keputusan tersebut, termasuk hukuman yang dicadangkan.

"Majlis Tertinggi tidak membuat apa-apa keputusan atau cadangan. MT tidak dapat jadi badan rayuan sebab kalau jadi badan rayuan, prosesnya agak rumit sebab bilangan ahli ramai dan kes banyak," katanya.

Mengisytiharkan harta

Tambah Dr Mahathir, banyak lagi kes disiplin yang masih disiasat. Bagaimanapun beliau melahirkan rasa berpuas hati dengan penerangan lembaga itu.

"Dalam kes ini, bagi ketua bahagian yang didapati bersalah, orang yang bertanding akan jadi ketua bahagian seterusnya (bagi menggantikan mereka yang dilucutkan jawatan)," katanya, sambil menambah tidak perlu lagi pemilihan baru ketua bahagian.

"(Bagi) seseorang yang bersalah, jawatannya dalam kerajan akan ditentukan berdasarkan keputusan yang mencerminkan keputusan lembaga disiplin," kata Dr Mahathir.

(Seorang daripada enam pemimpin yang dikenakan tindakan itu termasuklah ketua bahagian Baling Datuk Zainol Md Isa, yang juga ahli majlis mesyuarat kerajaan (exco) Kedah.)

Beliau juga berkata semua ketua bahagian akan diminta mengisytiharkan harta masing-masing.

"Kalau nampak kaya, mereka perlu memberi laporan harta mereka," ujar Dr Mahathir.

Tambahnya lagi, mereka yang dilantik ketua bahagian tidak akan diberi keutamaan untuk mendapatkan projek-projek kerajaan walau mereka boleh menjalankan perniagaan sendiri.

Perdana Menteri juga mengesahkan, beliau telah melantik dua orang penasihat Cina untuk memberikan pandangan mengenai pendirian dan sikap kaum itu.

"Pelantikan penasihat tersebut tidak bermaksud MCA dan Gerakan tidak berkesan menangani masalah-masalah kaum Cina," katanya.