ULASAN Walaupun ada ulama yang menganggap jatuh satu talak dalam kes berkenaan namun ada juga ulama yang menganggap ikatan sumpah itu tidak sah kerana ia bercanggah dengan maqasid ammah yang lebih utama iaitu keutuhan dan integriti keluarga mengatasi apa juga perhitungan.
Ini dianggap sebagai menghalalkan apa yang haram dan mengharamkan apa yang halal.
Oleh itu sumpah berkenaan dianggap tidak sah.
Sebaliknya dianggap lagha (sia-sia) dan terbatal dengan sendirinya sebab bercanggah dengan maslahah lebih utama.
Menurut Ibnu Taimiyah, talaq tidak jatuh kerana:
“Penutur sumpah tidak berniat menjatuhkan talak tapi sekadar untuk melarang dan menakutkan dan dia sendiri membenci talak berkenaan.”
Pendapat ini juga merupakan pendapat Abu Hanifah, segolongan sahabat al-Syafie seperti al-Qaffal, Abu Sa’id Al Mutawalli dan difatwakan oleh hakim-hakim daripada kalangan mutakhir daripada para sahabat Abu Hanifah, al-Syafie dan lain-lain.
Namun dituntut pihak yang membuat sumpah takliq berkenaan hendaklah membatalkan sumpah itu dengan memberi sedekah satu so’ atau sekitar 1 ½ kilogram makanan (beras atau gandum) kepada sepuluh orang fakir miskin untuk melepaskan dirinya dari sumpah berkenaan.
Bahkan dalam hal ini, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi telah menyebut:
“Pendapat seperti ini juga yang terpakai dalam undang-undang keluarga Islam di Mesir, Algeria dan Libya semenjak lebih daripada pertengahan abad yang lalu.”
“Sesungguhnya talak muallaq (talaq yang terikat dengan sesuatu atau larangan sesuatu) bukanlah talak yang disyariatkan oleh Allah SWT untuk memisahkan hubungan suami isteri. Akan tetapi ia berkaitan dengan sumpah. Melanggar sumpah itu maka cukuplah bagi dia untuk membayar kafarah sumpah iaitu memberi makan atau pakaian kepada 10 orang miskin.” (Fatawa Muasirah, jilid tiga, ms 342, cetakan Darul Qalam Linnasyar Wa Tauzi)
Muslim yang baik dan wadah politik Islam yang progresif masa kini tidak mempermudah kedudukan institusi keluarga dan anak isterinya untuk meraih kedudukan politik dalam arena politik demokrasi.
Mereka tetap menjunjung cita-cita memperjuangkan Islam dalam perspektif keilmuan yang lebih anjal dan syumul, sesuai dengan ‘angkubah’ dan realiti yang semakin rencam dan terkini.
Perjuangan mendaulatkan cita-cita Islam dalam arena politik demokrasi pelbagai parti tidak lagi boleh menggunakan pendekatan keterlaluan (fanatisme) sehingga menimbulkan suasana haru-biru dalam keluarga dan masyarakat.
Segala perbezaan dan gerak kerja politik mesti berlandaskan rasionaliti yang tinggi, adab yang mulia dan tindakan bijaksana untuk tidak melibatkan kehidupan peribadi seseorang kerana gerak kerja meraih undi dan kedudukan dalam masyarakat.
Setiap usaha ke arah meraih kuasa perlu dilakukan dengan tatacara yang lebih beradab, demokratik dan bertamadun bagi menampilkan keadilan dan kemesraan terutama dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Berasaskan bacaan baru terhadap rujukan politik Islam yang terkini oleh ilmuwan, ulama masa kini yang dapat menggarap bentuk-bentuk pemerintahan yang berintegriti sesuai dengan lunas demokrasi yang disesuaikan dengan nilai dan ajaran Islam.
Dalam situasi politik yang mengarahkan kepada kepelbagaian parti politik, Islam memberi ruang kepada aktivis umat dan ahli-ahli Parlimen berkaliber yang sedia bertugas untuk berperanan dalam wadah parti politik baru berteraskan ajaran Islam berlandaskan kaedah fekah:
(1) Sesuatu itu jika menyempitkan akan diperluaskan.
(2) Kesusahan akan membawa keringanan.
Bahkan juga dasar-dasar lain yang telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Dr Al Fateh Abdullah Abdul Salam dalam tulisan beliau mengenai persoalan ini.
Keraguan dan misteri
Selaras dengan itu kita juga bersetuju dengan penjelasan Pengerusi Multaqa Asatizah dan Du'at (MURSHID) Dr Zaharuddin Abd Rahman yang menyatakan bahawa:
(1) Keluarnya seseorang calon dari PAS tidak semestinya ia terus mengkhianati perjuangan Islam secara total, malah terdapat kemungkinan ia akan terus aktif dalam perjuangan Islam melalui platform jemaah-jemaah lain yang mungkin tidak bersifat politik seperti tabligh dan lain-lain.
Justeru, mengenakan dua mudarat ke atasnya adalah tidak wajar kerana dia belum boleh dikira mengkhianati Islam secara sepenuhnya, hanya kerana ia meninggalkan PAS.
(2) Menggunakan sumpah setia dengan lafaz takliq sebagai pengikat juga tidak wajar kerana melafazkan talaq tiga dengan satu lafaz dianggap satu kesalahan dan dosa oleh majoriti ulama, malah penceraian sebegitu juga dibenci oleh Rasulullah serta para sahabat.
Maka mengapakah diambil jalan yang dibenci ini sebagai strateginya, sedang boleh difikirkan cara-cara lain untuk mengikat calon untuk kekal.
Seperti sumpah laknat atas diri, dicagarkan harta tertentu kepada parti dan sebagainya yang bersifat neutral, bukan sumpah yang tercela dan dikira dosa.
(3) Bukankah talaq adalah perkara yang dibenci oleh Allah walau ia diharuskan?
Ia juga adalah ihsan yang diberi oleh Allah bagi suami isteri yang benar-benar memerlukan, ia juga diajar oleh Allah SWT untuk mengikut tertib kiraannya.
Mengapa perlu hal sebegini dijadikan pengikatnya?
Amat sedih jika terputus hubungan suami isteri, bukan kerana krisis dan ketidaksefahaman tetapi disebabkan perkara luar dari urusan dalam peribadi mereka berdua.
Maqasid shariah dalam peruntukan cerai dalam Islam adalah untuk keharmonian rumahtangga dan keluarga, peruntukan tiga kali diberikan oleh Allah adalah khas untuk suami isteri yang bercerai agar memikir kembali kebaikan kedua-dua pihak dan dibenarkan mengikat semula perkahwinan setelah muhasabah.
Lalu, sebarang penggunaan ‘cerai' untuk tujuan luar rumah tangga memerlukan nas dan hujah yang benar-benar kukuh.
Ini kerana ia akan memadam seluruh objektif asal peruntukan cerai yang diberikan oleh Allah SWT.
Kesimpulannya kami Parti Amanah Negara mengambil pendirian bahawa isu baiah taklik talaq tiga adalah tidak jatuh talak berdasarkan pada pendapat Syeikh Dr Yusuf Al Qardhawi dan ibnu Taymiah dan serta lain-lain ulama sealiran.
Apatah lagi baiah taklik talak tiga yang dilakukan oleh PAS Kelantan terhadap wakil-wakilnya diliputi berbagai-bagai keraguan dan misteri.
Di samping itu wakil-wakil rakyat yang terlibat dengan baiah itu tidak lagi mewakili PAS bukan di sebabkan melompat kepada parti lawan (Umno-BN) bahkan sebenarnya di sebabkan mereka disingkir oleh parti.
Ini bererti bahawa mereka tidak melanggar baiah.
AHMAD AWANG adalah penasihat umum AMANAH.
