Beberapa kubur ditemui di sempadan Perlis-Thai

(Dikemaskini )

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar malam ini mengesahkan penemuan beberapa buah kubur lagi di kawasan sempadan Perlis dan Thailand.

Beliau berkata kubur-kubur itu "adalah sebahagian daripada penemuan yang asal."

Beliau berkata demikian kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp mengenai dakwaan penemuan kubur mangsa pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya dari Myanmar yang baharu di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis.

Sementara itu di ALOR SETAR, sumber pasukan keselamatan negara mengesahkan kubur-kubur itu terletak tidak jauh daripada kubur yang ditemui oleh pihak polis pada Mei lepas.

"Ia merupakan kubur-kubur lama, tetapi baru sahaja ditemui oleh pasukan keselamatan negara baru-baru ini. Ia terletak tidak jauh daripada kubur-kubur yang kita temui Mei lepas," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, malam tadi.

Seorang lagi sumber keselamatan berkata, kubur-kubur yang baru ditemui itu terletak di bahagian Bukit Wang Burma yang lebih tinggi daripada kubur-kubur lama yang ditemui Mei lepas.

Sumber itu juga enggan mengesahkan dakwaan mengatakan mayat-mayat yang digali daripada kubur-kubur baru itu telah digali dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) malam ini untuk tujuan proses bedah siasat.

Sementara itu, kakitangan hospital itu enggan memberikan kenyataan tentang kehadiran dua buah trak polis di rumah mayat hospital itu kira-kira 9.30 malam tadi.

Trak-trak polis itu dipercayai membawa beberapa beg plastik mengandungi cebisan mayat-mayat yang digali daripada kubur-kubur baharu terbabit.

Pada Mei lepas, pasukan keselamatan negara telah menemui beberapa kubur mangsa pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma yang menemui 106 mayat.

Pihak berkuasa agama Islam Kedah dengan bantuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengebumikan 99 daripada mayat mangsa yang ditemui itu di Tanah Perkuburan Islam Khairiah Kampung Tualang, Pokok Sena baru-baru ini.

-Bernama

#}