malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Orang No 2 SB tak tahu alasan ditukar ke JPM
ADS

Bekas timbalan pengarah cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Hamid Bador berang ekoran ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Abdul Hamid yang telah berkhidmat dengan PDRM selama 37 tahun, menerima surat pertukarannya semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak tahu alasan mengapa pertukaran itu dibuat.

"Saya tak tahu atas alasan apa saya ditukarkan. Mungkin mereka tidak mahu saya berada di situ," katanya kepada Malaysiakini.

"Hal pertukaran saya ini, awak kena tanya IGP (Tan Sri Khalid Abu Bakar) kerana beliau yang mengesahkan surat pertukaran saya," katanya ketika dihubungi.

Diasak berikutnya, Abdul Hamid berkata beliau sebenarnya "tiada masalah" ditukarkan ke mana sahaja.

"Saya OK, tidak ada masalah (ditukarkan ke mana-mana). Jangan tanya saya kenapa saya ditukarkan, tanya mereka lah. saya tidak mahu buat spekulasi," katanya.

Ditanya sama ada pertukarannya berkaitan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Abdul Hamid berkata: "Tiada komen."

 

Sementara itu, ketika dihubungi Khalid mengesahkan pertukaran Abdul Hamid ke JPM tetapi tidak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenainya.

 

Sementara itu, Abdul Hamid berkata beliau secara rasmi telah melepaskan jawatannya pagi tadi tetapi belum lagi membuat keputusan sama ada akan menerima jawatan di JPM.

“Saya belum terima jawatan di JPM. Saya haya melepaskan jawatan saya saja. Pagi tadi saya lepaskan jawatan saya,” katanya.

Perkara ini merupakan perubahan terkini yang berlaku dalam Jabatan Cawangan Khas dalam minggu selepas Datuk Mohamad Fuzi Harun menggantikan Akhil Bulat selaku pengarah cawangan khas.

Ini bukan pertama kali pegawai tertinggi kerajaan ditukarkan.

Pengarah bahagian operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohd Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob turut ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Pertukaran itu kemudiannya dibatalkan.

[Baca berita penuh/asal]

 

 

 

 

 

 

Lihat Komen