malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Gadai telaga minyak cuma cerita Ahmad Said'
Diterbitkan:  Jun 10, 2015 5:58 PM
Dikemaskini: 4:10 PM
ADS

Umno Terengganu menolak dakwaan bahawa telaga minyak di negeri itu cuba digadaikan oleh pendahulu 1MDB, Terengganu Investment Authority (TIA) suatu masa dahulu.

Ketua penerangannya Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata dakwaan itu hanya “cerita sensasi” yang dimulakan oleh mantan menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Malah, kata Wan Abdul Hakim telaga minyak di negeri itu “bukan milik Terengganu” tetapi kerajaan pusat yang diurus oleh Petronas dan ia hanya mendapat 5 peratus wang ehsan daripadanya.

“Bon (pinjaman) sebanyak RM5 bilion perlu dibayar balik menggunakan sebahagian dari duit 5 peratus ini setiap tahun.

“Maksudnya kalau duit itu RM2 bilion setahun, sebahagian darinya, mungkin RM100 juta hingga RM300 juta setahun digunakan untuk membayar hutang tersebut setiap tahun.

“Dana dari hutang tersebut iaitu sebanyak RM5 bilion digunakan untuk pelaburan. Oleh itu tidak tepat dikatakan ‘telaga minyak’ Terengganu ‘dicagar’,” katanya dalam kenyataan disiarkan di portal pro-BN MyKMU.

Ahmad Jumaat lalu tampil secara terbuka menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sesi dialog bersama perdana menteri, yang menyaksikan Datuk Seri Najib Razak tidak hadir atas alasan keselamatan.

Ahmad menyertai sidang media bersama Mahathir, yang antaranya mendakwa TIA pernah cuba mencagarkan telaga minyak Terengganu untuk berhutang.

Tindakan itu bagaimanapun, kata Mahathir lagi, mendapat tentangan pihak istana.

Lihat Komen