malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Haron: PAS utama hukum Allah daripada Pakatan
Diterbitkan:  Mar 20, 2015 11:53 AM
Dikemaskini: 5:15 AM
ADS

Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din menegaskan parti itu lebih mengutamakan hukum Allah - hudud - daripada hukum manusia termasuk urusan kerjasama politik dengan Pakatan Rakyat.

Beliau juga menegaskan bahawa PAS tidak akan berganjak dengan perjuangannya melaksanakan hukum hudud sekalipun mendapat tentangan keras daripada sekutunya, lapor Utusan Malaysia hari ini.

"Seluruh ahli PAS terutamanya para pemimpin menyedari bahawa pada satu ketika akan berlaku pertembungan di antara PAS yang hendak menegakkan prinsipnya dengan rakan-rakan kongsinya yang mungkin beralah lalu menyokong atau berkeras menentang.

"Kalau PAS teragak-agak atau lebih mementingkan sekutunya yang menentang atau terlampau sayang dengan pakatan sehingga sanggup mengorbankan prinsipnya, maka PAS tidak akan membentangkan rang pindaan hukum hudud yang sedang berlaku di Kelantan.

"PAS telah menyatakan kesungguhannya, PAS tidak bercakap sahaja, PAS melaksanakannya. PAS lebih mengutamakan hukum Allah lebih daripada hukum manusia," Dr Haron seperti dilapor oleh akhbar itu

Semalam, pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) diluluskan dan disokong sebulat suara oleh 44 ADUN dalam sidang DUN Kelantan.

DAP pula meyifatkan PAS "menikam dari belakang" apabila tidak menghiraukan amaran supaya tidak membentangkan pindaan enakmen itu dan yakin PAS tidak akan mendapat sokongan jika ia dibentang di parlimen

Dalam laporan itu, Haron berkata PAS tidak membelakangkan DAP dan PKR kerana perjuangan PAS untuk menegakkan hukum hudud telah diterangkan berulang kali sebelum ini.

“Kalau perbuatan (membentangkan enakmen) itu dikatakan tikam belakang, kenapa tidak kata tikam hadapan sahaja, kita sudah beritahu dan terangkan berulang-ulang kali sampai masyarakat pun muak, PAS bukan sahaja beritahu DAP tetapi telah beritahu seluruh Malaysia dan seluruh dunia,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Laporan itu juga menyebut, Haron ditanya sama ada perlaksanaan hukuman itu akan menjejaskan undi bukan Islam, beliau berkata: "Pas lebih mengharapkan bantuan Allah daripada bantuan manusia."

Lihat Komen