malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
Akademi Fantasia, Malaysian Idol tamparan kepada Islam Hadhari
Published:  Jul 30, 2004 6:32 PM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin menyifatkan trend terbaru hiburan seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol dan program seumpamanya, sebagai satu tamparan terhadap usaha kerajaan untuk mempromosi konsep Islam Hadhari kepada rakyat.

Akademi Fantasia yang disiarkan di Astro dan Malaysian Idol di TV3 merupakan pertandingan bagi mengetengahkan bakat menyanyi dan berlakon para peserta di mana para penonton menghantar SMS untuk mengundi peserta penyanyi pilihan mereka.

Manakala ntv7 pula menyiarkan rancangan "Audition" yang juga menggunakan pendekatan yang serupa yang berkonsepkan "talent show".

Menurut Dr Abdullah, ini adalah rintangan yang dihadapi oleh kerajaan dalam usahanya untuk mempromosi konsep Islam Hadhari di negara ini.

Sehubungan itu, katanya, sebuah buku yang memberi penjelasan mengenai Islam Hadhari akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak lama lagi.

Selepas pelancaran buku tersebut, katanya, negeri-negeri diminta menyebar luaskan konsep itu hingga ke peringkat daerah.

Penyertaan masyarakat

Menurut Dr Abdullah ada kalangan rakyat yang mempunyai tanggapan salah mengenai konsep Islam Hadhari dan mendakwa bahawa ia adalah mazhab baru yang cuba diwujudkan oleh kerajaan.

Sebaliknya, kata beliau, Islam Hadhari bukan ajaran sesat atau mazhab baru yang dilahirkan oleh kerajaan tetapi ia lebih kepada pendekatan untuk meningkatkan penglibatan dan penyertaan masyarakat Islam di negara ini dalam semua aspek pembangunan negara.

Ketika memberikan taklimat mengenai Islam Hadhari kepada kakitangan dan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang hari ini, beliau berkata, penyertaan masyarakat Islam di negara ini dalam semua aspek pembangunan didapati merosot iaitu sekitar 18 peratus sahaja berbanding dengan kaum lain yang jauh lebih pantas merebut peluang.

Oleh itu, katanya umat Islam di negara ini perlu lebih progresif untuk maju sesuai dengan ajaran Islam yang syumul.

"Islam Hadhari perlu dipromosikan kepada rakyat kerana persepsi umat Islam di negara ini selalunya terbatas kepada ibadat khusus dalam agama itu sahaja tanpa mengambil kira ibadat umum yang boleh mereka kerjakan," katanya.

Bagi mengatasi cabaran itu, tambahnya, kerajaan menggunakan pendekatan Islam Hadhari untuk menggalakkan mereka memasukkan agenda membangunkan ummah, peradaban bangsa serta keutuhan negara dalam kehidupan seharian.

Sikap rajin

" Kita bukan sahaja mahu maju dalam hal-hal dunia malahan juga mencapai kejayaan di akhirat," katanya.

Sehubungan itu beliau menegaskan bahawa masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang dengan konsep Islam Hadhari ini kerana hak mereka terutama dalam soal beragama adalah terpelihara.

Dalam Islam, katanya, dasar toleransi beragama amat tinggi dan pada masa yang sama masyarakat bukan Islam tidak akan disekat untuk terus maju dalam apa jua bidang diceburi.

Menurutnya, Perdana Menteri, semasa mempengerusikan mesyuarat kabinet tidak lama dulu meminta secara khusus supaya empat menteri iaitu Penerangan; Tenaga, Air dan Komunikasi; Kesenian, Kebudayaan dan Warisan; serta Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berbincang mengenai cara untuk menyekat kebanjiran iklan dan program yang bercanggah dengan budaya kita.

Menurutnya, Perdana Menteri mahu supaya program-program yang boleh membina tamadun, membangunkan keluarga serta menanam sikap rajin bekerja diperbanyakkan bagi mendorong rakyat memperbaiki kehidupan mereka.

Majlis taklimat Islam Hadhari hari ini dianjurkan oleh Projek Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.